fbpx

Rakyat India mati 10 tahun awal akibat pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandangan jalan raya yang berjerebu di New Delhi pada 23 Disember 2021. - AFP

NEW DELHI – Satu laporan mendedahkan bahawa keadaan pencemaran udara di ibu negara India, New Delhi mampu memendekkan jangka hayat seorang penduduk sehingga hampir 10 tahun, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

New Delhi adalah bandar paling tercemar di seluruh dunia. 

Kajian bertajuk Indeks Kehidupan Kualiti Udara yang diterbitkan Institut Dasar Tenaga di Universiti Chicago (EPIC) tersebut mendapati bahawa seramai 1.3 bilion penduduk India tinggal di kawasan di mana paras purata tahunan partikel pencemaran udara melebihi had selamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Had tersebut adalah 5 mikrogram bagi setiap meter padu udara (µg/m³).

Faktor udara tercemar turut dikenal pasti sebagai salah satu ‘pembunuh senyap’ bagi berjuta-juta rakyat negara itu saban tahun.

Udara dipenuhi asap yang kebiasaannya meliputi bandar-bandar di India semasa musim sejuk, mengandungi paras zarah halus yang sangat tinggi yang dipanggil PM2.5 iaitu partikel kecil yang boleh memenuhi paru-paru serta menyebabkan pelbagai penyakit.

Selain itu, tempoh hayat kira-kira 510 juta orang yang tinggal di utara India juga kini semakin terancam.

Bilangan yang mewakili hampir 40 peratus populasi negara itu berisiko tinggi kehilangan 7.6 tahun daripada purata usia mereka sekiranya tahap pencemaran udara semasa tidak berubah.

Bagaimanapun, sekiranya pencemaran dapat dikurangkan mengikut piawaian WHO, ia bakal memberikan 240 juta orang di negeri Uttar Pradesh tambahan 10 tahun dalam jangka hayat mereka.

Menurut EPIC, sejak 2013, kira-kira 44 peratus daripada pencemaran global berpunca dari India yang kini menjadi negara kedua paling tercemar di dunia.

Laporan tersebut turut menyatakan bahawa India menetapkan standard kualiti udara sendiri, iaitu 40 µg/m³. Namun lebih 63 peratus rakyatnya tinggal di kawasan yang melebihi paras berkenaan.

Pada 2019, purata kepekatan bahan zarah udara di India adalah 70.3µg/m³, iaitu jumlah kepekatan tertinggi di dunia.

“Manusia sering menjangkakan ada pencerobohan makhluk asing dari Marikh yang akan menyebarkan ‘semburan’ untuk memendekkan jangka hayat penduduk Bumi. Namun hakikatnya, perkara tersebut dilakukan oleh kita sendiri.

“Bukti jelas adalah situasi di India apabila rakyatnya kehilangan hampir 10 tahun daripada purata hayat normal mereka disebabkan aktiviti manusia sendiri,” kata salah seorang pengarang laporan, Michael Greenstone.

Peningkatan pencemaran udara sejak dua dekad lalu di India adalah disebabkan oleh kemajuan perindustrian, pembangunan ekonomi dan peningkatan penggunaan bahan api fosil.

Bilangan kenderaan di jalan raya negara telah meningkat kira-kira empat kali ganda, demikian menurut laporan yang sama. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI