KUALA LUMPUR – Seorang warga emas cedera selepas terjatuh dari tingkat empat bangunan Wisma UTC Pudu Sentral, Jalan Pudu di sini hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 memaklumkan tentang kejadian pada pukul 2.12 petang tersebut sebelum mereka bergegas ke lokasi.
“Seramai 12 anggota bersama dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Sri Hartamas telah dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi anggota bertugas mendapati, terdapat seorang lelaki warga emas berusia dalam lingkungan 70 tahun telah terjatuh dari tingkat empat yang merupakan kawasan parkir kereta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang terjatuh itu didapati tersangkut pada besi penggantung pemampat penyaman udara yang terletak di tingkat satu bangunan.
“Mangsa telah selamat dibawa turun pada pukul 2.48 petang dan kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulan untuk diberi rawatan awal,” katanya. – K! ONLINE