KETIKA ini, aktor Son Suk-ku bagai sebutir bintang yang sedang menyita perhatian penggemar naskhah Korea Selatan. Semua itu, impak lakonannya dalam drama fenomena My Liberation Notes.
Keserasian Suk-ku bersama pasangannya, aktres popular Kim Ji-won dalam My Liberation Notes menuai perhatian luar biasa sehingga namanya trending dalam pelbagai lapangan media sosial.
Aktor berusia 39 tahun itu dihujani perhatian menyeluruh daripada peminat termasuk di peringkat global yang lemas dalam kehangatan personaliti seorang ‘gentleman’ (lelaki budiman) yang dijayakannya menerusi My Liberation Notes.
Memegang watak sebagai Mr. Gu, lelaki misteri yang hanya gemar memerhati tanpa banyak bicara, personaliti terjemahan Suk-ku menawan hati penonton. Masing-masing senang dengan lakonannya.
Malah fasa hubungan ‘slow-burn romance’ antara Mr. Gu dan Yeom Mi-jung (Ji-won) turut mengusik jiwa penonton yang menganggap paparan kisah cinta dalam drama tersebut sangat matang dan tidak berlebih-lebihan.
Biarpun sudah tamat tayangan pada 29 Mei lalu, namun kecanduan peminat terhadap Suk-ku terus menyala ditambah pula dengan kemasukan filem baharu lakonannya berjudul The Roundup yang mengambil giliran mencetus fenomena.
Sewaktu My Liberation Notes menjadi bualan hangat sehingga trending dalam media sosial terutama TikTok, aktor itu sedang mengerjakan penggambaran drama baharu lakonannya, Casino di Filipina.
Dia hanya menyedari ledakan populariti My Liberation Notes menerusi laporan media ketika di sana.
Sejurus kembali di Korea Selatan, kepulangannya ditunggu peminat di lapangan terbang, namun kerana terlepas penerbangan, dia berasa bersalah tidak dapat bertemu dengan penggemar yang sedia menunggu.
“Saya tahu dan itu terasa sangat nyata (populariti). Saya dapat rasakannya ketika pulang ke Korea. Saya sangat berterima kasih untuk itu.
“Alangkah bagus kalau saya dapat bertemu mereka lebih awal. Sekarang saya sudah pulang dan saya sangat bersyukur (disayangi ramai peminat),” ujarnya ketika muncul dalam program Two o’Clock Escape Cultwo Show, SBS Power FM.
Impak populariti dalam drama tersebut, nama Suk-ku berada dalam carta paling atas sebagai aktor paling banyak diperkatakan peminat bagi tahun ini menurut Good Data Corporation pada 24 Mei lalu.
Data tersebut dianalisis berdasarkan reaksi netizen menerusi berita online, komuniti dalam talian, media sosial dan video berkaitan dirinya.
Misteri, pemalu
Berbekalkan karakter ‘misteri’ dan tidak banyak bercakap tetapi pada akhirnya menonjolkan sisi manis, lakonan Suk-ku menarik minat penonton yang melihat sisi tersebut sebagai ciri lelaki idaman dalam dunia realiti.
Ironi, Mr. Gu yang dipotretkan Suk-ku sama seperti keperibadiannya yang sebenar. Dia memiliki perwatakan tidak banyak bicara dan pemalu.
Ketika muncul dalam program My Little Old Boy, Suk-ku mendedahkan, orang tuanya pernah menghantarnya belajar ke Kanada untuk mengatasi rasa malu yang dianggap sebagai satu penyakit.
“Sekarang saya dah tak terlalu pemalu. Ketika mula bekerja sebagai seorang yang dewasa, sikap pemalu saya beransur baik,” katanya yang berkelulusan School of The Art Institute of Chicago dalam bidang pembuatan filem.
Bercakap tentang The Roundup, filem berkenaan merupakan sekuel kepada pecah panggung The Outlaws (2017) dan menyaksikan Suk-ku memegang watak jahat dan ganas bernama Kang Hae-sung.
Memetik laporan My Daily, aktor yang lahir pada 7 Februari 1983 itu melakukan rutin senaman yang intensif demi mendapatkan otot dan menaikkan berat badan sebanyak 10 kilogram (kg).
Hal ini kerana, watak dijayakan Suk-ku perlu menjayakan adegan pertarungan fizikal yang agak dramatik dengan salah seorang pelakon utama filem tersebut, Ma Dong-seok.
Jika The Roundup berjaya mendapat kutipan 10 juta tontonan, Suk-ku berjanji mahu menunjukkan bakat tersembunyi dimilikinya kepada peminat iaitu menjadi tetamu undangan untuk SBS Power FM dan menyanyikan lagu Departure from a Country.
Sejak ditayangkan pada 18 Mei lalu, The Roundup yang turut dibintangi Ma Dong-seok dan Choi Gwi-hwa menjadi filem yang berjaya melepasi lima juta tontonan selepas Parasite.