PETALING JAYA – Dikecam hebat netizen susulan aksi tepuk punggung yang menjadi perbualan ramai, usahawan sensasi, Datuk Seri Vida tampil mempertahankan tindakannya.
Pemilik nama lengkap Hasmiza Othman itu memaklumkan, sebagai seorang wanita yang sudah berusia, dia tidak berniat untuk mencipta kontoversi namun ternyata, apa yang ditonjolkan dalam media sosial mudah membuat khalayak terkesan.
“Itu cara saya tayang kekayaan ‘aset’ selain duit. Mempunyai punggung yang cantik sebenarnya aset juga.
“Terpulang orang punya penerimaan tapi kita walaupun sudah berumur tak bermakna, tak boleh tayang aset kita, lagi pun itu video kita bergurau dengan rakan-rakan kita yang rapat,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tidak menafikan kutukan ramai susulan kontroversi yang tercetus, Vida, 51, bagaimanapun menafikan dirinya seorang jahil tentang agama hanya disebabkan video tular tersebut.
“Ada duit tak guna kalau kendur sini sana. Saya bukan jahil tentang agama tapi tolonglah jangan pandang negatif sahaja. Sikit-sikit nak kecam saya.
“Bergurau dengan rakan-rakan sahaja bukannya saya berjoget terkinja-kinja pun. Ada orang beri nasihat, saya terima dan kita belajar sama-sama kesilapan yang telah terjadi,” ujarnya.
Kontroversi yang turut melibatkan tiga figura sensasi lain iaitu Ifa Raziah, Kak KM dan Cheta Pot Pet berkenaan turut mendapat perhatian pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Amin yang menyifatkan penularan video tepuk punggung sebagai tindakan yang memalukan.
“Malu kalau anak-anak jadikan ikutan, malu bila nikmat kaya Allah bagi hanya untuk cara begini.
“Apa nak jadi dengan bangsa kita, agama kita,” tulis PU Amin atau nama sebenarnya, Mohammad Amirul Amin Maula Lokman Hakim, 31, dalam media sosialnya.
Terdahulu, Kak KM atau nama sebenarnya, Liana Rosli yang merupakan anak kepada dramatis, Normah Damanhuri memuat naik video dalam Instagram menunjukkan aksinya menepuk punggung Vida, Ifa dan Cheta Pot Pet dengan tujuan mempromosi sebuah karnival beli belah – KOSMO! ONLINE