KUANTAN – Kebimbangan seorang bapa terhadap anak lelakinya yang dikhuatiri terjun dari Jambatan Tanah Putih, di sini, semalam menjadi kenyataan apabila mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui terapung di Sungai Belat di sini hari ini.
Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira pukul 10.15 pagi oleh pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian di sekitar jambatan berkenaan.
“Pasukan bomba melakukan operasi pencarian menggunakan sebuah bot aluminium di sekitar dari tempat lokasi mangsa dipercayai terjun sebelum menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilancarkan sejak semalam membabitkan tiga pegawai dan 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan serta Pasukan Penyelamat Di Air menggunakan empat aset termasuk sebuah bot aluminium. – KOSMO! ONLINE.