fbpx

Teroka benda baharu resepi kejayaan Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adam Muhammad (tengah) bersama ibunya Mortini Mesari dan bapanya, Mohamad Suharto Bakri selepas menerima Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di sini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Berani meneroka benda baharu dan menguji kemampuan diri menjadi resepi kejayaan Adam Muhammad Taufiq Mohamad Suharto yang memperoleh Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di sini.

Adam Muhammad, 26, mencatat keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.77 bagi program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif Penulisan Artistik.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, penganugerahan itu adalah kejayaan kepada mereka yang menyertai dalam bidang seni secara keseluruhan yang sebelum ini tidak dipandang tinggi.

“Kedua-dua ibu bapa saya sejak kecil telah mendidik saya agar meneroka hal-hal baharu seperti tulisan sajak, pidato dan pengucapan awam supaya lebih berbakat serta tidak duduk dalam kelas sahaja.

“Hasil didikan itu membuatkan saya meraih tempat ketiga Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri pada tahun 2018 selain memenangi Filem Naratif Terbaik Asian Youth Indie Film Festival 2018 menerusi filem pendek berjudul Falasi yang diarahkan saya,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak kepada eksekutif bank dan guru pendidikan seni Sekolah Kebangsaan Seksyen 13 itu mengakui ingin menjadi salah seorang pengarah besar di negara ini seperti dilakukan pengarah profilik tempatan U-Wei Saari dan pengarah antarabangsa, Alfred Joseph Hitchcock.

“Justeru, saya sedang menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PHD) dalam pengajian filem Malaysia bagi tahun 80 dan 90an. Bagi saya, kita harus mendidik masyarakat memahami literasi sesuatu filem dengan menyampaikan mesej dan pemikiran yang jitu,” katanya.

Adam Muhammad beramah dengan Siti Sara selepas istiadat konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-93 di sini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

Sementara itu, Dr. Siti Sara Ibrahim,38, yang menerima Anugerah Kedoktoran Cemerlang Tuanku Canselor mengakui pernah putus asa dan cuba menarik diri dalam melanjutkan pelajarannya dalam PHD berkaitan pengurusan perniagaan.

“Pada tahun pertama saya ‘give up’ susulan pengurusan masa memandangkan ketika itu menjawat Ketua Pentadbir Fakulti di UiTM Negeri Sembilan.

“Setiap hari bermula pukul 8 hingga 12 tengah malam saya tutup pintu untuk mengikuti pelajaran. Apabila keluar lihat anak dan suami sudah tidur, tersentuh hati ini. Namun, saya mendapat sokongan kuat daripada suami dan keluarga dan penyelia sebelum mampu meraih anugerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI