KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba mensabotaj negara dengan membuat pengumuman kononnya beliau mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.
Jelasnya, ini dibuktikan dengan kedudukan Indeks FBM KLCI jatuh 10.5 mata sebaik sahaja Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengumumkan memperolehi sokongan dengan majoriti lebih banyak dari Ahli-Ahli Parlimen tengah hari tadi.
“Pengumuman Anwar untuk membentuk kerajaan hari ini dilihat seolah mensabotaj negara yang ketika ini sedang sibuk meyakinkan pelabur untuk memulihkan semula ekonomi negara.
“Beliau kembali menggunakan taktik lamanya. Dulu, dia juga pernah mendakwa kononnya mendapat sokongan 30 Ahli Parlimen dan akan ke Putrajaya pada 16 September 2008. Namun, tiada apa berlaku.
“Ketika bercakap kepada pemberita tengah hari tadi pun, beliau dilihat mengelak daripada menyentuh mengenai jumlah nombor atau bilangan Ahli Parlimen yang bersama dengannya,” katanya menerusi satu kenyataan di akaun Facebooknya hari ini.
Sebelum itu, Anwar dalam sidang akhbar khasnya di sebuah hotel di ibu negara hari ini mengumumkan PH berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan Persekutuan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mendapat majoriti yang cukup kukuh.
Presiden PKR itu berkata, beliau cuba mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 11 malam tadi untuk memaklumkan keputusan berkenaan, tetapi ditangguhkan kerana baginda telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) atas faktor kesihatan.
Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, atas kapasiti Presiden MCA, beliau menegaskan pendirian parti itu sebagai jelas, iaitu MCA dan Barisan Nasional (BN) ketika ini masih teguh berdiri bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, di bawah kepimpinan Muhyiddin, kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dan berjaya berhadapan pandemik Covid-19 sejak enam bulan lalu.
kerajaan PN juga dapat memulihkan semula ekonomi negara ketika waktu sukar yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Sebagai pemimpin politik senior, Anwar sepatutnya lebih bertanggungjawab, apatah lagi ketika ini sedang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
“Kestabilan negara jauh lebih penting berbanding mengejar cita-cita untuk menjadi perdana menteri,” katanya. -K! ONLINE