PETALING JAYA – Pelakon merangkap kekasih pemain bola pasukan Malaysia, Safawi Rasid, Syifa Melvin menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Skuad Harimau Malaya yang berjaya menamatkan kemarau 43 tahun untuk layak ke pentas Piala Asia 2023.
Syifa atau nama sebenarnya, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 28, menerusi satu entri dalam Instagram menulis: “So proud! (sangat bangga), alhamdulillah, syukur.”
Difahamkan, Syifa dan Safawi yang juga pemain sayap kelab Johor Darul Takzim FC (JDT) sudah menjalin hubungan istimewa sejak beberapa tahun lalu. Dua tahun lalu, hali perniagaan kosmetik itu antara yang dilihat sayu dan menangis sebak saat bersama keluarga dan penyokong mengiringi penghijrahan Safawi ke Portugal bagi menyertai kelab utama Liga Premier, Portimonense SC.
Malam tadi, pada perlawanan penting skuad negara menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil, aksi Safawi tidak mengecewakan kerana berjaya menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti.
Pada aksi tersebut, Malaysia menang besar 4-1 sekali gus menamatkan ‘badi’ 43 tahun untuk layak beraksi ke Piala Asia, tahun depan di bawah kelolaan jurulatih, Kim Pan-gon.
Keputusan tersebut menyaksikan skuad negara menamatkan kemarau 15 tahun selepas kali terakhir beraksi dalam kancah bola sepak terbesar benua Asia itu pada 2007 selaku tuan rumah.
Lebih manis, ini adalah kali pertama skuad negara layak secara merit dalam tempoh 43 tahun selepas edisi 1980. – KOSMO! ONLINE