GEORGE TOWN – Proses penghantaran buku teks Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) untuk murid-murid sekolah rendah agama di negeri ini berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan dan tidak berlaku kelewatan penyerahannya kepada pelajar seperti yang didakwa di media sosial.
Menurut kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), pada masa ini buku-buku teks KAFA tersebut dalam proses penghantaran ke sekolah-sekolah dan dijangka selesai akhir bulan ini.
“Sistem ini memang berjalan sepertimana yg dilaksanakan sebelum ini, namun disebabkan sesi persekolahan bermula lewat iaitu mulai hujung bulan Mac lalu menyebabkan ibu bapa merasakan sudah hampir setengah tahun sesi sekolah bermula dan buku masih belum disediakan.
“Sedangkan memang mengikut jadual dan perancangan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di Facebook JHEAIPP di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai rungutan ibu bapa yang mendakwa anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah rendah agama di Pulau Pinang masih belum menerima buku teks KAFA.
“Sesi persekolahan KAFA Pulau Pinang bermula 27 Mac 2022 dan untuk tiga bulan pertama persekolahan (27 Mac hingga 27 Jun) setiap pelajar telah dibekalkan dengan buku modul SALAM.
“Buku modul SALAM ini merupakan kandungan pelajaran asas kepada setiap murid mengikut tahun persekolahan masing-masing,” katanya pelajar akan menggunakan buku tersebut sebagai bahan pembelajaran sehingga akhir bulan Jun. – KOSMO! ONLINE