fbpx

Sekolah pendidikan khas dekat di hati saya – TMJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Ismail dan Che Puan Khaleeda mencemar duli berangkat melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai, Pasir Gudang hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

PASIR GUDANG – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, sekolah pendidikan khas adalah perkara yang amat dekat di hati baginda dan keluarga.

Titah Tunku Ismail, pendidikan adalah hak untuk semua rakyat tanpa mengira kaum atau agama mahupun keupayaan dan baginda menegaskan, setiap anak Johor berhak mendapat pendidikan asas yang baik.

Baginda bertitah, pembangunan insan yang berilmu dan beradab terutamanya untuk anak-anak rakyat Johor perlu dilaksanakan di ruang pengajaran dan pembelajaran yang kondusif dan selamat ketika pandemik Covid-19 masih berterusan.

“Saya telah mengemukakan beberapa persoalan mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Diharapkan agensi-agensi berkaitan mengambil maklum mengenai isu-isu tersebut untuk memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak Johor,” titah baginda dalam Facebook HRH Crown Of Johor hari ini.

Baginda turut menasihatkan Jabatan Agama Islam dan Jabatan Pendidikan serta Jabatan Kesihatan untuk sentiasa memantau sekolah-sekolah di seluruh negeri Johor agar SOP diikuti dan dilaksanakan dengan kesan minimum terhadap proses PdP.

Terdahulu, Tunku Ismail memaklumkan bahawa baginda dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam serta dua anak baginda melawat Sekolah Agama Taman Kota Masai di sini.

Baginda bertitah, ia bertujuan meninjau proses PdP di sekolah agama Johor dan melihat pelaksanaan SOP pencegahan penularan jangkitan Covid-19 serta hala tuju pendidikan agama untuk kelestarian anak-anak rakyat negeri Johor dalam membina ilmu agama.

“Kami juga berpeluang berjumpa dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth dan Sekolah Agama Pendidikan Khas Johor Bahru.

“Kedua-dua sekolah ini masing-masing ditubuhkan untuk memenuhi keperluan pembelajaran khas bagi anak-anak rakyat Johor yang mengalami masalah penglihatan, pendengaran, pertuturan dan autisme,” titah Tunku Ismail. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI