KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya bagaikan selangkah ke pentas Piala Asia 2023 selepas merekodkan keputusan 2-1 ke atas Bangladesh selepas tamat separuh masa pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Pada aksi tersebut, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon tidak menunggu lama untuk merekodkan gol hasil ledakan penalti Safawi Rasid pada minit ke-17 selepas Matthew Davies dijatuhkan pertahanan lawan.
Namun, Bangladesh mencipta kejutan apabila meraih gol penyamaan hasil ledakan Mohamad Ibrahim pada minit ke-31.
Penyokong pasukan kebangsaan kembali ceria apabila apabila tonggak pertahanan berdarah kacukan, Dion Cools menjaringkan gol kedua pada minit ke-37 selepas menyudahkan hantaran Shahrul Saad.
Hampir 60,000 penyokong membanjiri SNBJ kali ini bagi menyaksikan sejarah baharu pasukan Harimau Malaya untuk mara ke pentas Piala Asia 2023 secara merit buat kali pertama sejak 1980. – KOSMO! ONLINE