Oleh SUBKHI SUDARJI
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan masuk campur dalam pertelingkahan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai isu membabitkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, KBS hanya akan memerhati terlebih dahulu dan hanya akan masuk campur jika ada keperluan untuk berbuat demikian berdasarkan pengumuman Menteri.
“Seperti biasa apabila melibatkan persatuan sukan, KBS tidak akan masuk campur. Kita tidak akan masuk campur sama sekali dalam pertelingkahan pemain dengan persatuan atau badan sukan yang mengaturkannya.
“Kita hanya memerhatikan dahulu dan kalau ada keperluan barulah Menteri akan umumkan,” katanya.
Semalam, PBNP melalui kenyataan yang disiarkan menuntut FAM menyelesaikan isu membabitkan pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh.
PBNP berkata, FAM sebagai badan induk seharusnya membantu mereka sebagai ahli gabungan dalam mendapatkan penyelesaian kemelut terbabit agar keadilan dapat ditegakkan, sambil mereka turut mendakwa Sumareh sebenarnya berbohong dan ‘mereka-reka cerita.’
Sementara itu FAM dalam kenyataan balas menjelaskan bahawa tuduhan PBNP adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.
FAM dalam kenyataan tersebut memaklumkan pihaknya dengan jelas mengikut segala proses, ketetapan dan peraturan sejak dari permulaan kes itu sehingga ke hari ini.
FAM berkata, pihaknya juga turut membantu PBNP dalam memberikan keterangan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bagi menyelesaikan kes berkenaan. – K! ONLINE