PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukan sebanyak RM 160,000 Bantuan Awal Pengajian kepada 160 pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak hari ini.
Pengerusinya, Datuk Megat Zukarnain Omardin berkata, setiap dari pelajar berkenaan akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 sebagai persediaan kemasukan sesi pengajian yang baru sahaja bermula.
“Ia dapat membantu pelajar dari keluarga yang kurang bermampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar bagi memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Melalui inisiatif seperti ini juga sekurang-kurangnya dapat meringan beban ibu bapa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang telah melanda negara,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Tambahnya lagi, program bantuan seperti ini sedikit sebanyak mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa dan pelajar institut pengajian tinggi sebelum mendapat mana-mana bantuan atau dana bagi meneruskan pengajian sedia ada.
“Bantuan permulaan ini diharapkan dapat melahirkan pelajar yang komited, berkualiti, bercirikan keusahawanan, serta mampu berdaya saing di semua peringkat,” ujarnya.
Sehingga kini, seramai 3,277 pelajar telah menerima manfaat melalui bantuan awal pengajian YBR dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.2 juta sejak 2017 manakal bagi 2022, sejumlah RM 1 juta diperuntukan bagi bantuan tersebut.