CARDIFF – Kelab gergasi Serie A, AS Roma dilaporkan cukup berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sensasi Wales, Gareth Bale secara percuma selepas pemain itu tidak terikat dengan mana-mana kontrak pada jendela perpindahan kali ini.
Difahamkan, Bale yang tidak menyambung kontrak bersama Real Madrid telah diberi tawaran lumayan untuk kekal dalam kancah La Liga bersama Getafe, tetapi menolak secara baik.
Kini, pengendali Roma, Jose Mourinho dilihat bersedia untuk mendapatkan khidmat Bale selepas dia pernah bekerjasama dengan pemain berusia 34 tahun itu ketika membimbing Tottenham Hotspur pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020/2021.
Selain Roma, satu lagi pasukan EPL, Newcastle United selain beberapa kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS) dan kelab Wales yang bersaing di Liga Kejuaraan, Cardiff City turut menyatakan minat untuk menandatangani Bale.
Mengulas mengenai spekulasi masa depannya, Bale mengakui terbuka untuk menyertai mana-mana pasukan tidak kira status kelab tersebut beraksi di liga utama atau sebaliknya kerana apa yang penting dirinya mendapat minit permainan.
“Saya tidak kisah untuk sertai mana-mana pasukan tidak kira kelab itu beraksi di divisyen utama, divisyen kedua atau sebagainya kerana ia tidak begitu penting buat saya.
“Semua orang tahu fokus saya adalah untuk kekal cergas dan mendapatkan minit permainan yang cukup agar bersedia untuk beraksi secara kompetitif buat Wales pada pentas Piala Dunia 2022 nanti.
“Jika ada mana-mana tawaran menarik, saya akan berbincang dengan keluarga dan barisan kejurulatihan Wales yang banyak membantu saya selama ini,” katanya. – AGENSI