PETALING JAYA – Dynaciate Group Berhad (Dynaciate) melalui anak syarikat milik penuhnya, Magnitude Resources Sdn. Bhd. telah memeterai perjanjian jual beli dengan Powernet Industries Sdn. Bhd. (PISB) untuk mengambil alih tanah perindustrian dengan bangunan yang berada di Bentong, Pahang yang bernilai RM12 juta.
Tanah di Bentong seluas 2.32 hektar itu terdiri daripada tanah perindustrian pegangan bebas yang menempatkan bangunan pejabat dua tingkat ditambah dengan kilang satu tingkat, gudang berkembar dua tingkat dan satu tingkat, serta kelengkapan bangunan yang termasuk mesin, loji, bahan dan peralatan.
Ia berada di lokasi strategik terletak berdekatan pekan Bentong dan Lebuh raya Karak serta bakal mendapat manfaat daripada projek lain yang berdekatan seperti Taman Perindustrian Malaysia China Kuantan (MCKIP) dan pemulihan Projek Terowong Genting Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Bentong.
Pengarah Eksekutif Dynaciate, Melvin Lim berkata, cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Kumpulan kerana ia diambil kira dengan lokasi yang strategik serta peruntukan untuk peningkatan nilai hartanah pada masa hadapan di sekitar kawasan tersebut.
“Kami sedang giat mengembangkan portfolio hartanah kami, memanfaatkan sumber pembinaan Kumpulan khususnya dalam sektor tanah dan bangunan perindustrian untuk meningkatkan nilai pelaburan hartanah kami.
“Melangkah ke hadapan, strategi portfolio muktamad kami adalah untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan peningkatan modal yang sentiasa berkembang dan potensi pendapatan sewa dalam pasaran perindustrian tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Dynaciate dan anak-anak syarikatnya terlibat dalam perniagaan pelaburan hartanah perindustrian dan pembinaan yang mana Kumpulan menyediakan kerja-kerja dan perkhidmatan sivil, mekanikal utama, seni bina, paip pra-fabrikasi serta pemasangan. -KOSMO!ONLINE