MOSCOW – Russia memberi amaran keras bahawa Barat dan Eropah akan ‘lenyap’ dalam serangan senjata nuklear sekiranya membekalkan peluru berpandu kepada Ukraine, lapor akhbar The Sun semalam.
Ancaman itu dikeluarkan selepas bekas Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski memberitahu sekutu Barat bahawa Poland boleh menyediakan bekalan misil kepada Ukraine.
Beliau turut mendakwa bahawa Presiden Vladimir Putin melanggar Memorandum Budapest bagi Jaminan Keselamatan 1994.
Pencabulan perjanjian itu akan mewajarkan penghantaran senjata nuklear dari Barat, kata Sikorski kepada saluran televisyen Ukraine, Espreso TV.
Komen dikeluarkan Sikorski itu bagaimanapun diselar Kremlin yang menuduh beliau memburukkan lagi situasi tegang sedia ada.
Ketua Dewan Rendah Viacheslav Volodin menerusi saluran Telegram miliknya berkata, negara-negara Eropah telah pun berdepan dengan pelbagai konflik seperti pelarian, kenaikan kadar inflasi dan krisis tenaga.
“Sikorski memprovokasi konflik nuklear di Eropah. Beliau tidak memikirkan mengenai masa depan Ukraine atau Poland.
“Sekiranya cadangannya dipenuhi, negara-negara tersebut akan musnah termasuk Eropah.
“Sikorski dan lain-lain adalah menjadi penyebab mengapa Ukraine bukan sahaja perlu dibebaskan daripada pengaruh ideologi Nazi, bahkan dihapuskan ketenteraannya serta mengekalkan status negara bebas nuklear,” ujarnya. – Agensi