KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak sama sekali menghalang Ahli Parlimennya untuk mengambil keputusan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi membentuk kerajaan baharu.
Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, seperti diketahui umum UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sokongan kepada kerajaan PN adalah sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimennya sahaja.
“Saya telah mengikuti sidang media oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahli Parlimen Port Dickson. Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN.
“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan Ahli–Ahli Parlimen sahaja. UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap YDPA bagi menyatakan hasratnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ujarnya, dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan dan pihaknya menghormati pendirian mereka.
Terdahulu, Anwar dalam satu sidang akhbar mendakwa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk gabungan kerajaan baharu.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur semalam.
“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat,” katanya.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sepatutnya mengadap Yang di-Pertuan Agong kelmarin, namun terpaksa ditangguhkan kerana Seri Paduka menerima rawatan di Institut Jantung Negara.-K! ONLINE