SETIAP ibu bapa, begitu juga pasangan suami isteri pasti ada cara berbeza dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Perkara sama dilalui selebriti popular Indonesia, Mulan Jameela
Mengakui lebih tegas dalam mendidik anak-anak berbanding suaminya, Ahmad Dhani. Kata Mulan, suami itu kerap mengalah dan lebih banyak memujuk.
Katanya juga, cabaran cukup besar untuk ibu bapa membesarkan cahaya mata apabila gajet dan laman sosial menjadi permainan terkini yang memerlukan pemantauan, terutama buat si kecil.
“Di peringkat pengguna sosial media sendiri sudah jelas ditentukan tahap usia yang boleh mendaftar sebagai pemilik akaun. Jadi kanak-kanak seperti Safeea (anaknya) masih belum cukup umur lagi.
“Sekarang secara mental Safeea belum siap. Dia harus lakukan sesuatu yang sesuai untuk kanak-kanak 11 tahun seperti berkawan, berhubungan baik dan bermain macam kawan seusianya.
“Ketika pandemik Covid-19 tempoh hari memang anak-anak duduk saja di rumah hingga sangat akrab dengan gajet untuk hilangkan kebosanan. Cuma kena ada had dan dipantau.
“Apabila keadaan semakin membaik dan sekolah sudah bermula, Safeea tidak lagi boleh bermain gajet kecuali untuk hal membabitkan pelajaran.
“Anak-anak yang sudah dewasa pun kami ingatkan selalu,” katanya dalam satu temu bual bersama HibGlam.
Penyanyi Makhluk Tuhan Paling Seksi itu ditemui semasa hadir ke Kuala Lumpur menemani suaminya bagi mengadakan persembahan Festival Islamik Garden of Eid di Taman Botani, baru-baru ini.
Ini merupakan kunjungan sulung Ahmad Dhani ke Malaysia selepas bebas dari penjara hujung tahun 2019.
Bercakap tentang pendekatan atau cara mendidik anak-anak yang berhadapan kemilau populariti serta terdedah kepada gosip, kata Mulan mereka sentiasa diingatkan tentang kehidupan biasa seperti keluarga lain.
“Saya dan Dhani punya fikiran sama. Popular atau dikenali ramai hanya disebabkan impak pekerjaan sebagai anak seni. Sedangkan kami juga menjalani kehidupan macam biasa. Terkenal itu bukan segala-galanya.
“Itu yang selalu saya beri penekanan kepada semua anak-anak. Di luar pekerjaan, kami jalani hidup seadanya. Paling penting kita berbaik-baik dengan orang lain,” tambah selebriti berusia 43 tahun itu.
Rumah tangganya dengan komposer dan penyanyi tersohor itu diserikan kehadiran Safeea, 11, dan Muhammad Ali, 6, manakala menerusi perkahwinan terdahulu, Mulan mempunyai dua cahaya mata, bernama Tiara Savitri Nugraha, 22, dan Muhammad Rafly Aziz Nugraha, 19.
Ahmad Dhani dengan bekas isteri yang juga penyanyi, Maia Estianty pula dikurniakan tiga putera, Ahmad Al Ghazali, Ahmad El Jallaludin Rumi, dan Abdul Qodir Jaelani.