IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyifatkan Allahyarham Tun Dr. Arshad Ayub sebagai seorang tokoh pendidikan yang amat dihormati, disegani dan disayangi.
Baginda menerusi warkah perutusan takziah kepada isteri Allahyarham Arshad, Toh Puan Zaleha Mohd Arshad bertitah, Arshad merupakan seorang “towering personality” yang amat terkenal dalam program-program melibatkan pendidikan anak Melayu.
“Beta menerima berita sedih kembalinya ke Rahmatullah mantan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya pada hari Selasa, 14 Zulkaedah 1443 bersamaan 14 Jun 2022.
“Allahyarham semasa hayatnya berjaya menyuntik imej lebih bertenaga kepada Institut Teknologi Mara (ITM) melalui visi dan kecekalan mahu melahirkan angkatan profesional Melayu dan bumiputera,” titah baginda hari ini.
Terdahulu, media hari ini melaporkan Arshad, 93, menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital pada pukul 2.06 pagi tadi.
Difahamkan, beliau dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu berikutan masalah kesihatan dan dilaporkan dalam keadaan tenat.
Dalam pada itu, Sultan Nazrin bersama-sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim mendoakan agar waris, anggota keluarga dan sahabat handai Allahyarham menghadapi saat duka dan hiba itu dengan penuh keredaan serta ketabahan.
“Semoga segala khidmat murni Allahyarham diterima sebagai amal yang diberikan ganjaran rahmat ketika berada di alam barzakh begitu juga pada hari kebangkitan. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan roh para solihin,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE