PENYANYI dari kumpulan Monsta X iaitu I.M menjadi salah satu contoh artis yang ‘melanggar’ standard sempurna artis idola K-pop.
Dia tanpa berselindung mengakui selama ini bergelut dengan masalah kesihatan mental iaitu anxiety (kebimbangan).
“Saya penyanyi dan artis idola. Tetapi sebelum jadi semua itu, saya cuma seorang lelaki biasa.
“Seorang lelaki dan budak. Jadi saya berasa resah, marah dan sedih, sama macam kamu semua,” katanya ketika mengakhiri konsert jelajah 2022 NO LIMIT US TOUR di Kia Forum, Inglewood, Los Angeles.
Pun begitu, I.M berkongsi satu ‘rahsia’ bagaimana cara dia mengubati penyakit dialaminya selama ini.
“Kalian MONBEBE (kumpulan peminat) adalah cara saya keluar daripada penyakit.
“Dalam kepala saya ada banyak benda sedang difikirkan tetapi ketika bersama kalian, saya dapat bertahan dan kawal diri sendiri,” ucapnya.