IPOH – Polis sedang dalam perancangan untuk menubuhkan dua pusat Unit Anjing Pengesan (K9) di Manjung dan Pengkalan Hulu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua lokasi tersebut dilihat sebagai strategik kerana terletak di lokasi pelancongan dan sempadan negara.
Katanya, setakat ini, Unit K9 Kontinjen Perak hanya ada di Ipoh dengan empat ekor anjing.
“Saya difahamkan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman merancang untuk membina dua lagi Unit K9 di Manjung dan Pengkalan Hulu.
“Kedua-dua lokasi itu dilihat strategik memandangkan Manjung adalah pusat pelancongan yang memerlukan tindakan segera manakala Pengkalan Hulu pula berada di sempadan negara yang akan memberi perkhidmatan kepada negeri dan daerah berdekatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, dua ekor anjing pengesan dikenali Chulio dan Rocky antara 66 penerima pingat dan surat penghargaan pada perhimpunan bulanan itu.
Anjing jenis German Shepherd itu menerima penghargaan tersebut di atas kejayaan mengesan orang hilang masing-masing bagi kes di Tronoh pada Mei lalu dan Ulu Geruntum, Gopeng, Januari lalu.
Pada majlis itu, Mior Faridalathrash turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Ketua Seksyen K9, Sarjan V Gunalan dan pengendali, Lans Koperal Tan Wei Hong (Rocky) dan Koperal Tony Matius Farang (Chulio).
Menurut Mior Faridalathrash, Rocky dan Chulio serta pengendali mereka diberi penghargaan di atas perkhidmatan cemerlang kerana membantu pasukan polis dalam operasi mengesan orang hilang.
“Anjing polis ini dilatih bagi mengesan pelbagai bau sasaran termasuk dadah dan bahan letupan,” katanya.
Pada majlis sama, turut diadakan Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Polis Daerah Muallim antara Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir dengan Asisten Superintenden Kidam Kumat.
Superintenden Mohd. Hasni yang sebelum ini merupakan Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) JSJ Perak itu secara rasmi menggalas tugas sebagai Ketua Polis Daerah Muallim yang baharu berkuat kuasa hari ini. – KOSMO! ONLINE