BANGKOK – Ayam di sebuah ladang ternakan di Lampang, utara Thailand diberikan ganja sebagai ganti ubat antibiotik yang biasanya dicampurkan ke dalam makanan haiwan berkenaan, lapor laman berita Thaiger, semalam.
Menurut Thaiger, ayam di ladang tersebut dikatakan bukan sahaja menunjukkan imuniti lebih tinggi terhadap penyakit tetapi turut mempunyai peratusan lemak yang lebih rendah berbanding biasa.
Penggunaannya membantu untuk menghasilkan hidangan Khao Man Gai atau nasi ayam yang lazat, demikian menurut sebuah restoran Chiang Mai, yang kerap membeli ayam dari ladang ternak berkenaan.
Kerajaan Thailand menggugurkan ganja sebagai narkotik Kategori 5 pada 9 Jun lalu dan menjadikan tumbuhan itu boleh digunakan untuk tujuan perubatan dan komersial.
Perusahaan Komuniti Pertanian Organik Petch Lanna di Daerah Chae Hom, Lampang diberikan lesen untuk menanam ganja bagi tujuan perubatan.
Pihak pengurusannya berkata, semasa pemprosesan, mereka mengutip banyak sisa ganja berlebihan lalu memutuskan untuk mencampurkannya dalam makanan ayam di sana dengan sokongan Fakulti Pertanian Universiti Chiang Mai.
Sejak permulaan eksperimen, ayam-ayam di ladang ternak itu mempunyai imuniti yang lebih baik terhadap penyakit bronkitis burung yang sebelum ini menjadi masalah besar kepada pengusaha ladang ternak.
Ladang tersebut sebelum ini cuba melawan penyakit itu dengan menggunakan antibiotik tetapi ia tidak berfungsi sebaik ganja.
Keputusan positif menyaksikan ladang ternak itu menamatkan sepenuhnya penggunaan antibiotik atau bahan kimialain dan hanya mencampurkan ganja ke dalam makanan ayam.
Daging ayam yang dihasilkan juga dikatakan kurang lemak dan lebih lazat.
Perusahaan itu menjual daging ayam pada harga 100 baht (RM12.66) satu kilogram, manakala telur berharga 6 baht (75 sen) sebiji.
Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Peladang Kebangsaan menyokong usaha itu dengan presidennya, Prapat Panyachatrak memberi amaran bahawa penggunaan antibiotik dalam ternakan ayam boleh membahayakan kesihatan manusia. – Agensi