ALOR SETAR – Seorang pesara wanita kerugian RM220,500 setelah terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang individu dikenali menerusi Facebook.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa yang berusia 60 tahun dan berasal dari negeri ini merupakan ibu tunggal kematian suami pada tahun 2008.
Kata beliau, mangsa mengenali seorang individu dikenali dengan nama Amran Mohammad Ali yang mengaku doktor di Syria pada November tahun lalu sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Sepanjang tempoh perkenalan itu, lelaki terbabit meminta bantuan daripada mangsa untuk memasukkan wang menerusi beberapa transaksi ke akaun suspek bagi membantunya kerana sering dalam kesusahan.
“Atas dasar percaya dan cinta, mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM)
ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan suspek bermula Disember tahun lalu hingga Mei tahun ini,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 51 transaksi berjumlah RM220,500 dilakukan dan kesemua wang tersebut adalah wang simpanannya. – KOSMO! ONLINE