PETALING JAYA – Sektor pembinaan negara yang sedang berusaha bangkit daripada impak pandemik Covid-19 berdepan isu kekurangan kira-kira 500,000 tenaga buruh disebabkan ramai pekerja asing yang meninggalkan Malaysia sebelum ini tidak kembali.
Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff berkata, keadaan itu diburukkan dengan tindakan sebilangan pekerja asing yang masih berada di Malaysia ‘melompat’ ke sektor perladangan sawit kerana mengejar upah lebih tinggi.
“Sekarang ini tiada lagi tambahan pekerja asing untuk sektor pembinaan. Kita kekurangan kira-kira 40 peratus tenaga kerja ketika ini. Pekerja asing yang berada di Malaysia sedang ‘demand’ gaji.
“Saya rasa mereka dapat lebih (bayaran) di sektor perladangan sawit. Bayaran dalam sektor pembinaan kira-kira RM120 sehari, manakala sektor perladangan sawit mungkin RM150 sehari.
“Sektor pembinaan berdepan kenaikan kos binaan dan kini isu pekerja. Mana-mana tapak pembinaan mengalaminya. Esok harga sawit turun mereka ‘lompat’ ke sektor lain. Keadaan ini amat mengganggu industri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau mengulas pendedahan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengenai kenaikan harga buah tandan segar (BTS) menjejaskan tenaga kerja dalam sektor pembinaan.
Azman berkata, beliau menyokong langkah Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkenalkan sistem kad pengenalan mengikut sektor bagi mengatasi masalah pekerja asing yang berpindah ke sektor lain sewenang-wenangnya.
Menurut beliau, penguatkuasaan yang lebih ketat memang diperlukan supaya pekerja asing mematuhi tujuan permohonannya ketika mahu memasuki negara ini untuk bekerja dalam sektor tertentu.
Justeru, katanya, kerajaan diharap segera menyelesaikan isu yang timbul tersebut kerana masalah kekurangan tenaga kerja menjejaskan pelaksanaan projek-projek pembangunan.