fbpx

Jual van sekolah tampung belanja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. JAFRI (tengah) bersama anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Hulu Langat semalam.

HULU LANGAT – Kehidupan empat beranak diuji apabila ketua keluarga mereka menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi sejak dua tahun lalu.

Mohd. Jafri Abdul Rahman, 54, yang bekerja sebagai pemandu van sekolah turut menderita sakit pada tulang pinggul dan kaki menyebabkan dia sukar bergerak dan berjalan.

Menurut Mohd. Jafri, dia terpaksa bergantung penuh dengan anak sulungnya, Mohamad Noor Ridwan, 23, untuk mengurus dan membawanya ke klinik untuk rawatan susulan setiap minggu.

“Saya tak pernah menyangka, namun reda apabila diuji kerana anak-anak masih kecil.

“Demi kelangsungan hidup, saya ambil keputusan menjual van sekolah bagi menampung perbelanjaan keluarga,” katanya ketika ditemui di Bandar Tun Hussein Onn (BHTO) semalam.

Sebelum ini, Mohd. Jafri bekerja hampir setiap hari menghantar kanak-kanak ke sekolah serta perkhidmatan penghantaran lain.

Selepas diuji sakit, lelaki itu berasa tidak selamat untuk be­kerja. Duit jualan van sekolah digunakan untuk membeli kereta dan menampung kos rawatan dialisis tiga kali seminggu di sebuah klinik swasta di sini.

Jelasnya, bukan sahaja pendapatannya terjejas, malah isterinya, Rosnah Awang Isa, 51, turut terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan menyebabkan kehidupan mereka ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

“Isteri saya mengambil upah mengasuh anak-anak penduduk sekitar BHTO sebelum pandemik. Sekarang dia sudah kembali mengasuh walaupun bilangannya kecil selain membuat kuih-muih.

“Saya akui kehidupan kami tidaklah senang seperti dahulu, namun saya masih bersyukur kerana ada rezeki walaupun mengharungi ujian besar ini,” ujarnya.

Sementara itu, Rosnah berkata, dia bersyukur kerana menerima pelbagai sumbangan daripada jiran dan rakan terdekat bagi meringankan beban keluarga selain bantuan bulanan daripada pusat zakat.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 162143279599 atas nama Rosnah Awang Isa atau menghubunginya di talian 013-3752826.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI