fbpx

K2

Nasi lalap diperap dengan 13 jenis rempah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZUNURRAHMAH menujukkan antara menu menyelerakan yang dihidangkan di Restoran Pedas, Taman Idaman, Kluang.

BERMULA dengan menjual makanan tradisi dari Sabah pada tahun lalu, Restoran Pedas yang diusahakan oleh Izunurrahmah Kusnen, 29, dan suami, Zulkifli Aki Luddin, 32, berkembang dengan aneka pilihan menu.

Salah satu makanan Sabah yang menjadi signatur kepada Restoran Pedas yang bertapak di Kluang, Johor adalah nasi lalap.

Kata Izunurrahmah, menu tersebut didatangkan dengan sambal warisan istimewa yang dimasak sendiri oleh ibu mertuanya yang berasal dari Tawau, Sabah.

“Nama lalap itu berasal daripada perkataan Indonesia iaitu lalapan yang bermaksud lapan jenis ulam.

“Oleh itu, nasi ini akan dihidangkan bersama ulam, lauk yang digoreng tepung dan sambal khas lalap,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Menurutnya, pelanggan boleh memilih jenis lauk yang ingin dimakan bersama nasi itu seperti ayam, keli, tilapia merah, bawal, sotong, puyuh dan udang.

Lauk-lauk tersebut akan diperap dengan 13 jenis rempah selama tiga hingga lima jam kemudian dicelup ke dalam tepung sebelum digoreng.

“Perapan yang lama membuatkan menu tersebut sangat sedap kerana rasa rempah meresap ke dalamnya.

“Konsep nasi lalap sama seperti nasi penyet, tetapi yang membezakannya adalah lauk penyet dihidangkan dengan bahan perapan dan teknik gorengan berbeza,” tutur ibu kepada seorang cahaya mata itu.

 

HIDANGAN nasi lalap yang menjadi signatur Restoran Pedas.

 

Di samping itu, Restoran Pedas turut menyediakan menu ayam gepuk dan daging dendeng dengan mengekalkan teknik perapan rempah khas yang menjadikan setiap menu mereka unik serta istimewa.

Restoran tersebut juga menyediakan 70 menu lauk kampung untuk makan tengah hari seperti gulai daging umbut pisang, aneka masakan salai kelapa bakar, siput sedut batang keladi dan kerabu mangga.

Selain itu, asam pedas pari, udang galah masak lemak cili api, dilengkapi dengan 15 jenis sambal serta ulam turut menjadi antara menu yang mendapat sambutan daripada orang ramai yang berkunjung ke situ.

Sementara itu, bagi penggemar makanan shellout juga boleh mencuba menu berkenaan di Restoran Pedas.

 

SHELLOUT 3 Penjuru Alam menawarkan set biasa dan premium.

 

Popular dengan nama Shellout 3, restoran itu menawarkan set biasa dan premium.

“Shellout set biasa mempunyai tiga pilihan sos iaitu lada hitam, buttermilk dan kari.

“Set premium juga didatangkan dengan tiga pilihan sos iaitu sambal cili ala Cina, hot black pepper dan buttermilk telur masin,” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia itu.

Tambahnya, shellout premium menawarkan menu seperti Alaskan king crab dan US lobster.

Harga Shellout 3 Penjuru Alam biasa bermula dari RM43 hingga RM143, manakala bagi menu premium bermula dari RM150 hingga RM360 bergantung kepada bilangan orang dan set.

Mengulas mengenai perancangan akan datang, Izunurrahmah memberitahu, pihaknya akan memperkenalkan menu masakan Barat dan sarapan pagi pada masa akan datang.
Restoran Pedas boleh menampung kapasiti 120 orang pada satu-satu masa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI