fbpx

Hanya benarkan industri teknologi tinggi di Taman Teknologi P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kon Yeow (kiri) pada sidang akhbar mengenai isu-isu semasa di Pejabat Ketua Menteri di pejabatnya di Komtar, George Town hari ini.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri memberi jaminan hanya industri berteraskan teknologi tinggi akan berada di Taman Teknologi Pulau Pinang dengan keluasan 339 hektar di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, Bertam, Seberang Perai Utara (SPU) dekat sini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun taman teknologi baharu itu dibangunkan pemaju swasta namun kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang akan sentiasa bekerjasama serta memberi khidmat nasihat mengenai pelaburan asing di situ.

“Kawasan ini melibatkan sektor industri teknologi tinggi seperti di kawasan Batu Kawan, di mana kebanyakan syarikat yang melabur adalah syarikat berteknologi tinggi seperti bidang semi-konduktor, industri aero angkasa, barangan pembuatan perubatan dan lain-lain.

“Kerajaan negeri juga difahamkan oleh pemaju bahawa mereka telah mendapatkan komitmen dari Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung tawaran insentif kepada syarikat dan pelabur asing yang bakal melabur di situ,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pembangunan taman industri baharu itu akan dilakukan di tanah seluas 800 ekar yang telah dizonkan sebagai tanah industri sejak tahun 2004 dan hanya mula dibangunkan pada tahun ini oleh pemaju swasta.

“Pembangunan taman industri baharu ini dapat mengimbangi kemajuan industri di kawasan Seberang Perai dan pulau serta menjadikan kawasan SPU sebagai satu kawasan industri berteraskan teknologi tinggi,” ujarnya.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan maklumat berhubung sektor industri yang akan berada kawasan Taman Teknologi Pulau Pinang itu.

Sebelum ini, penduduk di 10 taman perumahan berhampiran telah mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat (CLQ) di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI