SETIAP bahtera perkahwinan yang dibina pasti mahu dilayari bersama zuriat sebagai penyeri rumah tangga. Begitu, nasib dan rezeki orang tidak semuanya sama.
Tidak dinafikan ada yang awal-awal lagi dikurniakan cahaya mata usai sahaja naik pelamin.
Tak kurang juga yang mengambil masa bertahun-tahun lamanya berusaha tanpa pernah putus asa menanti tumbuhnya zuriat cinta.
Itu semua rezeki dan takdir yang ditentukan Allah. Tidak cepat mahupun lambat waima sesaat. Kalau sudah dikatakan rezeki milik kita, pasti tetap akan sampai jua.
Perkara sama juga dilalui dan dirasai sendiri pelakon kelahiran negeri Che Siti Wan Kembang, Izzue Islam hingga ke saat ini.
Sampai ke detik ini, dia dan isteri, Awin Nurin tetap berusaha dan sentiasa berdoa agar dikurniakan cahaya mata meskipun sudah hampir sedekad menanti.
Kecil hati, usaha
Akuinya, adakala dia tidak dapat menyembunyikan rasa tertekan apabila ramai sering bertanyakan tentang soal cahaya mata kepada mereka.
“Tidak dinafikan seperti yang kita tahu anak ini akan bagi kita kebahagiaan, keceriaan dalam rumah tangga yang dibina.
“Tetapi macam saya dah alami dan kami sudah berkahwin lebih sembilan tahun, namun masih belum menimang cahaya mata.
“Pada awalnya, memang ada rasa tertekan, terutama bila balik kampung jumpa kawan-kawan dan saudara-mara yang bertanyakan soal anak.
“Ada yang tanya macam kedengaran terlalu serius tak kurang juga kadang-kadang persoalan mereka boleh menyakitkan dan mengguriskan hati kami suami isteri jika tidak kena pada caranya,” katanya.
Justeru kata Izzue atau nama sebenarnya Muhammad Izzul Islam Mazlan, dia dan isteri sentiasa bersikap positif selain berfikir secara rasional untuk berhadapan dengan pertanyaan sedemikian.
“Sebagaimana kami menangani tekanan ini dari awal, saya dan isteri harus positif walaupun macam saya cakap tadi ada pertanyaan yang boleh diterima, ada yang kadang-kadang menyakitkan hati.
“Nak atau tak, kami memang kena positif, macam mana cara kita jawab pertanyaan pun kena positif supaya orang itu tak rasa yang kita sebenarnya tertekan.
“Jangan sesekali tunjukkan kita tertekan.
“Walaupun kami berdua belum dikurniakan cahaya mata, Allah berikan kami kebahagiaan dalam rumah tangga,” ujarnya.
Rezeki lain
Meneruskan perkongsian bersama HibGlam, bekas anggota kumpulan Forteen ini bersyukur hingga kini rezeki dalam bidang seni tetap menyebelahinya.
Meskipun rezeki memiliki cahaya mata masih belum kunjung tiba, Yang Maha Kuasa tetap berlaku adil dan tidak pernah ‘tidur’ dalam menentukan rezeki hamba-Nya.
Macam Izzue sendiri, baru-baru ini dia dan isteri bersyukur dapat membeli sebuah rumah banglo mewah hasil usaha dan titik peluh selama bekerja sebagai anak seni sejak sedekad lalu.
Kata Izzue, dia dan isteri sudah lama idamkan untuk memiliki kediaman sendiri sejak bernikah pada 2013 dan akhirnya semua jadi kenyataan.
“Alhamdulillah, lepas raya baru-baru ini, kunci pun kami sudah dapat. Cumanya kami masih belum berpindah ke sana lagi disebabkan beberapa faktor.
“Insya-Allah kalau tiada apa-apa halangan atau aral melintang, saya dan Awin akan terus berpindah dan mula menetap di kediaman baharu kami itu.
“Alhamdulillah Allah itu adil. Kami belum ada rezeki yang sana (anak), Dia beri kami rezeki yang ini (rumah) dulu,” katanya.
Masih baik, jatuh cinta
Tutup kemas soal rezeki anak dan rumah, Izzue yang mengambil keputusan untuk keluar daripada Forteen sekitar 2018 lalu mengakui mula merasakan sedikit kekurangan dalam perjalanan karier seninya tidak seperti semasa mereka bersama dahulu.
Meskipun sudah membawa haluan masing-masing, Izzue mengakui hubungannya dengan tiga anggota Forteen lain masih baik dan sama seperti dahulu, cumanya dia memilih untuk tidak masuk campur urusan kerjaya rakan-rakannya itu.
“Perjalanan kerjaya seni saya masih sama seperti dahulu. Sejak bersama Forteen pun mereka tahu aktiviti seni saya secara solo dan mereka tidak pernah ada masalah tentang hal itu.
“Sekarang ini jujur saya ada rasa sedikit kurang. Bukan bermakna mereka tidak sokong cumanya apabila tidak bersama, mungkin apa-apa masalah atau keputusan dalam kerjaya saya perlu buat sendiri.
“Hubungan saya dengan semua anggota Forteen masih baik. Kami selalu berhubung tetapi saya tidak berniat untuk campur tangan dalam perancangan kerjaya mereka,” tuturnya.
Ditebak mengenai kerjaya seninya yang semakin terarah ke arah pengacaraan, Izzue sedar situasi tersebut berpunca daripada kurangnya tawaran nyanyian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Dia juga jarang mengambil tawaran berlakon yang memerlukannya membawa watak utama kerana bimbang tidak dapat memberikan komitmen di lokasi penggambaran.
“Sejak PKP, tidak banyak tawaran menyanyi. Ada beberapa tawaran sebagai pengacara program atas talian dan saya mula jatuh cinta dengan bidang ini.
“Bagaimanapun, saya masih baru dan hijau. Banyak lagi yang perlu diperbaiki. Kerjaya lakonan masih berjalan lancar, cuma saya lebih memilih melakonkan sebagai watak-watak pembantu sahaja.
“Kalau jadi hero perlukan tempoh masa yang panjang di lokasi, jadi saya takut tidak boleh bahagikan komitmen dengan tugasan sebagai pengacara,” ujarnya seraya menyimpulkan kata.