GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan dan pengedaran ganja bernilai RM2.12 juta serta terbesar di Pulau Pinang pada tahun ini selepas menahan lapan lelaki termasuk dua warga Thailand.
Penahanan ke atas suspek berusia antara 35 hingga 59 tahun itu dilakukan dalam dua serbuan berasingan di Sungai Bakap dan Nibong Tebal dekat sini antara pukul 10.50 malam hingga 1 pagi pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Operasi tersebut dijalankan sepasukan anggota di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ketika serbuan dilakukan di sebuah kawasan perumahan mendapati anggota sindiket terbabit sedang memunggah ketulan mampat ganja seberat kira-kira satu kilogram setiap satu ke dalam sebuah lori dipercayai untuk diedarkan.
“Masing-masing suspek terdiri empat warga tempatan dan dua warga Thailand dipercayai terbabit dalam sindiket berkenaan.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk ganja dari selatan Thailand melalui jalan laut untuk diedarkan di pasaran tempatan.
“Sindiket ini dipercayai mula aktif sejak hujung 2021 dan jika jumlah dadah yang dirampas terlepas di pasaran boleh digunakan kira-kira 1.68 juta penagih,” katanya dalam sidang akhbar IPK Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau memberitahu, hasil ujian air kencing terhadap suspek terbabit mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis THC (tetrahydrocannabinol) manakala seorang lagi positif morfin.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut juga mendapati lima daripada suspek terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Menerusi operasi ini, kita turut menyita pelbagai aset sindiket terbabit yang dianggarkan bernilai RM80,000 menjadikan jumlah rampasan dadah dan sitaan adalah RM2.2 juta,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE