fbpx

Buaya berjemur di tebing tali air hampir dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Buaya berkenaan dilihat berjemur di tebing tali air dekat Taman Sungai Isap Jaya di Kuantan.

KUANTAN – Penduduk di sekitar Taman Sungai Isap Jaya, di sini terkejut dengan kemunculan seekor buaya tembaga yang berjemur di tebing tali air di kawasan perumahan terbabit kira-kira pukul 8 pagi hari ini.

Reptilia sepanjang lebih tiga meter itu dilihat berjemur di tebing belakang kebun pisang milik penduduk hampir dua jam sebelum turun semula ke dalam air dan tenggelam.

Saksi kejadian, Abdul Rahim Othman, 62, berkata, dia menyedari kehadiran buaya terbabit ketika sedang bersarapan di sebuah warung berhampiran tangki air bersama rakan-rakan.

“Kami semua terkejut dengan kemunculan buaya itu dan mengambil kesempatan merakam gambar dan videonya dengan lebih dekat.

“Saya sendiri pernah melihat buaya di tali air ini namun saiznya lebih kecik berbanding yang kami lihat hari ini dan daripada cerita-cerita penduduk di sini, berkemungkinan terdapat tiga ekor buaya di dalam tali air ini. Difahamkan ada yang pernah melihat buaya lebih besar daripada saiz ini,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk di sekitar kawasan itu sebelum ini pernah melihat kelibat buaya di tali air berkenaan namun itu kali pertama buaya dilihat naik ke darat dan berjemur.

Abdul Rahim berkata, penduduk berharap pihak berkuasa dapat memindahkan buaya berkenaan ke tempat asalnya kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan penduduk.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md. Yasin berkata, pihaknya maklum mengenai perkara dan melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan orang ramai.

Ujarnya, tali air berkenaan bersambung dengan Sungai Kuantan yang menjadi antara habitat reptilia berkenaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI