KUALA LUMPUR – Juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Wildcats terus mengekalkan momentum terbaik mereka apabila mencatat kemenangan 75-41 ke atas Kedah Sunshine pada aksi Sooka Netball Super League (NSL) 2022.
Kemenangan di Stadium Juara, Bukit Kiara itu membolehkan KL Wildcats kekal menerajui carta liga sepusingan yang kini berbaki saingan satu minggu sahaja lagi.
Goal shooter KL Wildcats, Nordiyanah Noor Sabadinee menjelaskan, perubahan posisi pemain pada suku masa ketiga dan keempat menyebabkan permainan mereka bertambah garang dalam aksi itu.
“Suku pertama kami bermula sedikit perlahan sebelum kami tingkatkan tempo permainan selepas itu.
“Pesanan jurulatih yang menyuruh kami tenang dan kawal permainan serta emosi membuatkan kami lebih bersedia dalam dua suku masa terakhir,” katanya.
Sementara itu, goal keeper Kedah Sunshine, Norsuriani Mohamad mengakui, dia dan rakan sepasukannya sudah mencuba sedaya upaya untuk menyaingi kemampuan KL Wildcats dalam perlawanan tersebut.
“Sebelum perlawanan kami ada bincang untuk guide one on one dengan baik dalam aksi ini. Kami cuba tidak bazirkan bola dan kuatkan bahagian depan,” jelasnya.
Bagaimanapun, ia masih gagal menandingi kehebatan KL Wildcats sekali gus menyukarkan peluang Kedah Sunshine untuk mengelak daripada tersingkir musim depan.
Sebagai rekod, Kedah Sunshine ketika ini menduduki tangga kedua tercorot dan hanya mempunyai baki satu perlawanan menentang Perak Phoenix minggu depan. – KOSMO! ONLINE