SHAH ALAM – Permintaan terhadap pembersih tangan atau hand sanitizer untuk membasmi virus dan kuman termasuk Covid-19 semakin berkurangan sehingga menyebabkan beberapa peniaga dilihat menurunkan harga jualan sehingga RM5 sebotol.
Penurunan harga itu dikesan selepas kerajaan banyak melonggarkan prosedur operasi standard kawalan jangkitan Covid-19 dan negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik pada April lalu.
Tinjauan Kosmo! di beberapa farmasi di sini semalam mendapati, terdapat lambakan stok pembersih tangan di rak jualan dan ditawarkan pada harga hanya RM24 untuk saiz 500 mililiter (ml) berbanding sekitar RM29 sebelum ini.
Seorang pembantu farmasi yang hanya ingin dikenali sebagai Maria, 33, berkata, jualan produk pembersih tangan merosot teruk sejak kira-kira dua bulan lalu.
“Sekarang memang jarang sangat pelanggan beli pembersih tangan dan pemilik farmasi pun sudah tidak mahu menambah stok kerana takut berlaku lebihan bekalan.
“Kalau sebelum ini kami menjual pembersih tangan 500ml pada harga RM29, sekarang ia ditawarkan pada RM25,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi petugas farmasi, Alesha, 21, berkata, penurunan harga terpaksa dibuat selepas permintaan merosot dan pelanggannya semakin kurang menggunakan pembersih tangan berbanding enam bulan lalu, ketika negara masih berada dalam fasa pandemik.
“Di premis kami masih banyak bekalan pembersih tangan. Kalau dahulu stok barangan ini diletakkan di rak, sekarang ia diletakkan di kaunter atau dilonggok untuk dijual pada harga murah.
“Pembersih tangan yang masih terjual sekarang hanyalah yang bersaiz kecil, iaitu 50ml atau 80ml untuk tujuan kegunaan sendiri.
“Harganya juga jatuh daripada RM7 kepada RM5 sebotol,”
ujarnya.
Seorang pekerja farmasi di Kuala Lumpur, Syuhada Ibrahim, 26, pula memberitahu, pembersih tangan bersaiz 50ml mengalami penurunan harga antara RM1 dan RM3, manakala bagi sesetengah jenama, ia turun antara RM2 hingga RM5 sebotol untuk saiz 100ml.
Sementara itu, seorang pembantu farmasi, Aida Mahamat, 31, berkata, farmasi tempatnya bekerja kini tidak lagi mengambil bekalan baharu untuk pembersih tangan bagi mengelakkan berlakunya timbunan stok.
“Kami akan habiskan bekalan yang sedia ada terlebih dahulu sebelum membuat pesanan baharu bagi mengelakkan masalah kerugian.
“Bagaimanapun, sekiranya dibandingkan dengan jualan pelitup muka, produk pembersih tangan ini dikira masih lagi mendapat permintaan pengguna meskipun tidaklah sehebat dahulu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE