fbpx

KPDNHEP tiada akta lindungi pelanggan dimaki peniaga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosol Wahid (kanan) mematau harga ayam ketika melakukan tinjauan ke Program Jualan Keluarga Malaysia di pasaraya besar Lotus Tebrau, Johor Bahru hari ini. - FOTO: RAJA JAAFAR

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mempunyai akta khusus untuk melindungi pelanggan yang dimaki hamun oleh peniaga seperti yang tular di Melaka, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid sebaliknya berkata, semua pihak sama ada peniaga dan pelanggan diingatkan untuk bersabar dan beretika dalam menghadapi sebarang perselisihan.

“Sebagai peniaga, kita perlu mempunyai etika dalam menjalankan perniagaan kerana pelanggan adalah raja, apa yang dibuat pelanggan sepatutnya peniaga sentiasa bersabar dan bertolak ansur.

“Walaubagaimanapun kita tahu mungkin setiap pihak termasuk peniaga sedang tertekan ditambah lagi dengan kenaikan kos sara hidup, tetapi itu bukan alasan untuk bertindak biadap dengan pengguna.

“Sebab itu kadang-kadang peniaga sepatutnya bersabar dan bertolak ansur. Jadi diharapkan kejadian seumpama itu tidak lagi berulang,” katanya kepada pemberita melakukan tinjauan ke Program Jualan Keluarga Malaysia di pasaraya besar Lotus Tebrau, di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 51 saat yang menunjukkan peniaga Restoran 35 di Plaza Mahkota, Bandar Hilir bertindak biadap dengan menghambur kata-kata kasar kepada salah seorang pelanggannya.

Sementara itu, Rosol turut memberitahu, pihaknya berharap kejadian seumpama itu akan menjadi pengajaran buat semua pihak terlibat sama ada golongan peniaga dan juga orang awam.

“(Setakat ini), kita tidak ada akta yang boleh untuk kompaun (peniaga sekiranya pelanggan dilayan secara kasar) dan sebagainya. Cuma kita berharap semua orang kena banyak bersabar,” ujarnya.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwe Hee Sem mengunjungi restoran berkenaan dan menasihati pemiliknya.

Hee Sem dilaporkan berkata, walaupun Melaka terkenal dengan lenggok bahasa yang agak kasar namun perkara itu tidak boleh dijadikan alasan bagi membela tindakan tersebut sehingga boleh mencalarkan imej negeri.

Susulan itu, pekerja restoran berkenaan yang juga anak ketiga kepada pemilik restoran asam pedas itu telah memohon maaf kepada pelanggan kerana gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI