KUALA LUMPUR – Misi pengendali negara, Kim Pan-gon untuk mengutip sekurang-kurangnya tujuh mata pada kempen kelayakan Piala Asia 2023 kali ini lebur selepas tunduk 2-1 kepada Bahrain di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Penjaga gol negara, Farizal Marlias pastinya menjadi individu paling terkesan dengan kekalahan ini kerana kesilapannya menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti menghadiahkan gol kemenangan buat Bahrain.
Walaupun memilih jalan sukar, peluang Harimau Malaya untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan masih lagi terbuka luas, sekurang-kurangnya menjamin satu daripada lima slot naib juara terbaik.
Walaupun melakukan lima perubahan dalam kesebelasan utama berbanding aksi dengan Turkmenistan sebelum ini, corak permainan skuad negara di atas padang basah langsung tidak terjejas sebaliknya kekal dengan intensiti tinggi untuk cuba memburu gol pembukaan.
Jika jumlah peluang dicipta diambil kira, Harimau Malaya sepatutnya mampu memasuki bilik persalinan dengan penuh senyuman sebaliknya ia gagal direalisasikan.
Junior Eldstal sepatutnya sudah meletakkan Malaysia di depan seawal minit ke-5 sebaliknya lambunan yang cuba dilakukannya berjaya dibaca dengan baik oleh penjaga gol lawan, Sayed Mohamed Abbas.
Minit ke-31, ketangkasan Sayed Mohamed Abbas terus mengundang kecewa buat kem negara apabila pantas menepis tolakan jarak dekat Akhyar Rashid.
Sepuluh minit selepas aksi bersambung, Stadium Nasional Bukit Jalil akhirnya ‘bergegar’ apabila Mohamadou Sumareh meledak gol pembukan perlawanan namun kelebihan itu sekadar bertahan dua minit, Bahrain kembali menyamakan kedudukan menerusi Ali Abdula Haram.
Ketika lawan makin agresif memburu tambahan jaringan, anak buah Pan-gon kekal dengan sikap melawan dan kemasukkan Arif Aiman Hanapi beberapa kali mencemaskan benteng Bahrain.
Kesilapan penjaga gol negara, Farizal Marlias yang menghadiahkan penalti buat Bahrain jelas mengundang padah dan kesempatan pada minit ke-81 itu berjaya disempurnakan dengan baik oleh Abdulla Yusuf Helal.
Selasa ini, Malaysia bakal berdepan misi wajib menang menentang Bangladesh, juga di venue sama. – KOSMO! ONLINE