GUA MUSANG – Seorang wanita maut selepas motosikal dinaiki bersama anaknya merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang disyaki keluar secara mengejut dari simpang empat berhampiran Wisma Persekutuan di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Rosnina Abdullah, 52, yang menunggang motosikal jenis Honda Spacy patah tulang rusuk dan disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Gua Musang di sini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan mendapati seorang lelaki berusia 47 tahun yang memandu SUV jenis Nissan X-Trail berada di simpang sebelah kiri kawasan simpang empat berkenaan.
Menurutnya, kenderaan itu dipercayai keluar secara mengejut sehingga menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal dan membonceng anaknya, Norathirah Azman, 21, mengelak ke kanan jalan.
“Insiden itu mengakibatkan motosikal berkenaan merempuh bahagian tayar SUV itu dan jatuh ke atas jalan raya.
“Mangsa dan anaknya dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum wanita itu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Choon Foo, anak mangsa turut mengalami cedera pada bahagian kepala dan mulut.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Forensik hospital berkenaan untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE