fbpx

Violin digunakan oleh Albert Einstein dilelong lebih RM67 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan violin buatan tahun 1714 oleh Antonio Stradivari yang pernah menjadi milik Tosha Seidel. – AFP

NEW YORK – Sebuah violin milik seorang pemuzik berketurunan Amerika Syarikat-Rusia dan pernah digunakan dalam runut bunyi filem Wizard of Oz dijual dalam satu lelongan di New York, Khamis lalu pada harga AS$15.3 juta (RM67.3 juta), kurang sedikit daripada catatan rekod untuk alat muzik berkenaan, demikian menurut firma lelongan Tarisio. 

Violin buatan 1714 oleh Antonio Stradivari (Stradivarius) dan dimiliki oleh Toscha Seidel itu bukan sahaja digunakan dalam filem klasik Hollywood tahun 1939 tersebut, bahkan ia juga dimanfaatkan untuk mengajar anak muridnya yang ter­kenal, Albert Einstein.

“Violin ini digunakan oleh saintis dan ahli matematik legenda tersebut. Mereka memainkan alat muzik ini di kediaman Einstein di Princeton, New Jersey,” kata pe­ngasas Tarisio, Jason Price.

Seidel berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) dalam tahun 1930-an, manakala Einstein memulakan hidup baharu di AS selepas melarikan diri daripada Rejim Nazi di Eropah. Kedua-duanya mengambil bahagian dalam sebuah konsert di New York pada tahun 1933 untuk menyokong saintis Jerman berdarah Yahudi ber­kenaan.

Daripada beribu-ribu alat muzik yang dihasilkan oleh Stradivari, hanya 600 yang diketahui masih wujud hari ini.

“Daripada 600 alat muzik itu pula, banyak yang disimpan oleh yayasan-yayasan dan tidak akan dijual,” kata Price.

Violin itu sebelum ini dimiliki oleh Koleksi Munetsugu di Jepun. Tarisio tidak mendedahkan identiti pembe­linya.

Rekod lelongan violin Stradivari dicatatkan pada 2011 apabila sebuah violin digelar Lady Blunt milik Lady Anne Blunt iaitu cucu kepada penyajak legenda, Lord Byron, dijual pada harga AS$15.9 juta (RM69.9 juta) di London. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI