JAKARTA – Seorang lelaki di Indonesia putus tangan kanan akibat dibaham seekor buaya semasa dia memasukkan tangannya ke dalam air yang keruh, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Ilham dan berusia 49 tahun diupah menjadi pemandu untuk membawa sebuah keluarga di sekitar Zoo Sinka, wilayah Kalimantan Barat demikian menurut laporan tempatan.
Ketika kejadian, Ilham terpaksa berhenti selepas tayar kenderaannya pancit. Dia memutuskan untuk mencuci tangannya selepas menukar tayar kenderaan tersebut.
Setelah menemui sebuah kolam, Ilham mencelupkan tangan ke dalam air. Namun, seekor buaya tiba-tiba menyerangnya.
Haiwan itu menggigit lengan kanan mangsa. Saksi-saksi berkata, lengan mangsa dibaham hingga ke paras siku.
Lengannya putus ketika dia berlari untuk menyelamatkan diri.
Ilham dibawa ke hospital dan menerima rawatan akibat kecederaan yang dialami.
Gambar terkini menunjukkan dia dalam keadaan stabil dan tersenyum walaupun hilang tangan kanannya.
Polis di Indonesia melancarkan siasatan berhubung serangan itu. Menurut saksi, tiada papan tanda diletakkan berhampiran kolam yang menunjukkan keberadaan buaya. – Agensi