LONDON – Seorang pemilik kedai di Britain tidak berpuas hati apabila dia terpaksa membersihkan najis yang pada mulanya dianggap daripada seekor anjing di kaki lima kedainya, lapor akhbar Daily Star semalam.
Bagaimanapun, setelah memeriksa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV), pemilik kedai, Colin White terkejut kerana pelakunya bukan anjing tetapi seorang wanita.
Video dirakam di sebuah kedai di bandar Folkestone, Kent itu memaparkan perbuatan seorang wanita yang duduk mencangkung lalu membuka seluarnya sebelum membuang air besar.
Kejadian memalukan itu dikatakan berlaku sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) pada Selasa lalu.
Pemilik kedai pakaian The Quarter Masters itu menemui najis di luar kedainya di Old High Street keesokan harinya.
“Kami sangat berwaspada di Old High Street dan mahu memastikan ia kelihatan cantik dan bersih.
“Saya sentiasa menyimpan beg najis di dalam kedai lalu membersihkan apa yang mampu untuk mengelakkan seseorang memijaknya,” kata White.
Polis Kent berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai kejadian tersebut. – Agensi