fbpx

Redah api selamat barang kemas jutaan ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik MUHAMMAD ARIF menunjukkan keadaan kedainya yang musnah akibat kebakaran di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Seorang peniaga barangan kemas sanggup meredah api demi menyelamatkan emas jualannya bernilai jutaan ringgit dalam kebakaran di Pasar Datuk Keramat, di sini kelmarin.

Nik Muhammad Arif Nik Azmi, 34, berkata, dia bergegas ke kedainya setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Ketika sampai, saya terus melompat masuk ke dalam kedai bagi menyelamatkan seberapa banyak barangan yang boleh.

“Syukur barangan jualan berharga anggaran jutaan ringgit berjaya diselamatkan daripada hangus,” katanya yang merupakan generasi ketiga berniaga selama 40 tahun di Pasar Datuk Keramat itu.

Katanya, dia juga terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM100,000 akibat ke­rosakan kedai yang dialami.

Pasar Datuk Keramat di Kampung Datuk Ke­ramat, di sini terbakar lagi buat kali kedua dalam kejadian pada awal pagi semalam.

Kali pertama pasar itu dijilat api adalah pada 17 Mac 2021 melibatkan lebih 40 lot kedai.

Seorang lagi peniaga barangan kemas, Iqbal Nordin, 32, berkata, kebakaran itu menyebabkannya menanggung kerugian mencecah RM10,000.

JOHARI (kanan) melawat lokasi kebakaran yang berlaku di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur semalam.

Sementara itu, seorang mang­sa yang hanya mahu dikenali Mohd. Shahril, 39, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi dia terdengar bunyi dentuman kuat umpama bunyi mercun semasa sedang tidur.

“Saya terdengar ibu berusia 72 tahun menjerit kuat memberitahu kedai pakaian terpakai di sebelah rumah terbakar.

“Saya dan ibu keluar dari rumah kerana bimbang api me­rebak ke kediaman kami. Ketika berada di luar rumah, kami dapat lihat api merebak ke rumah lalu membakar stor, bilik menjahit, bilik air dan memusnahkan barang elektrik termasuk mesin jahit kesayangan ibu,” katanya.

Tambah Mohd. Shahril, me­sin jahit itu amat bermakna ke­rana dengan mesin jahit itulah wanita tersebut menyara mereka empat beradik selepas bergelar ibu tunggal.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kedudukan Pasar Datuk Keramat tidak selamat dari segi kemudahan infrastruktur dan pendawaian sekali gus mendatangkan risiko kepada para peniaga.

“Ini kali kedua kebakaran berlaku, dipercayai tiada sebarang penambahbaikan dilakukan pemilik tanah, jadi keadaannya sangat berisiko kepada peniaga,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI