BANGKOK – Seorang pelumba basikal yang terkenal di Thailand dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di wilayah Nakhon Ratchasima, lapor laman berita Thaiger semalam.
Nirantra Phramthong, 53, dirempuh sebuah lori 10 tayar pukul 8.10 pagi (waktu tempatan) di persimpangan bertingkat berhampiran sebuah tapak pembinaan di lebuh raya khas yang menghubungkan daerah Bang Pa In. Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Pemandu trak, Pradit Thiangtham yang berusia 41 tahun tidak melarikan diri dari lokasi kejadian tetapi menunggu untuk memaklumkan kepada polis tentang kemalangan yang berlaku.
Pradit berkata, dia tidak memandu laju kerana terdapat kesesakan lalu lintas selain beberapa lorong jalan sedang dalam pembinaan.
Lelaki itu mendakwa bahawa dia tidak melihat penunggang basikal itu dan hanya berhenti apabila mendengar bunyi kuat. Setelah keluar melakukan pemeriksaan, dia mendapati mangsa telah meninggal dunia.
Nirantra yang berasal dari daerah Pran Buri, wilayah Prachuap Khiri Khan telah melawat banyak negara di seluruh dunia dalam kembara berbasikal. Dia baru tiba di wilayah itu April lalu.
Sebilangan penggemar sukan berbasikal pernah mengadu bahawa jalan raya di Thailand sangat berbahaya untuk aktiviti berbasikal dan ramai orang meninggal dunia akibat kemalangan.
Sebelum kejadian, mangsa telah menyiarkan gambar terakhir memaparkan hidangan telur dadar ala-Thai dan kari pedas yang dimakannya di Stesen Kereta Api Nakhon Ratchasima.
Anggota polis dari Balai Polis Pho Klang kemudian menyoal pemandu lori itu dan penduduk tempatan yang menyaksikan kejadian itu untuk mengetahui punca kemalangan.
Polis memaklumkan kepada saudara-mara mangsa untuk mengambil mayatnya di Hospital Maharat Nakhon Ratchasima. – Agensi