KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak hanya menumpukan individu yang mempunyai jawatan terutama di peringkat bahagian agar dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dibuat berikutan gabungan itu perlu membuat pembaharuan dari segi produk yang akan dipersembahkan.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kita telah buktikan semua saluran anak muda telah kembali mengundi calon BN. Ini hakikat dan mereka telah meletakkan harapan semula kepada BN dan UMNO.
“Kita lihat PRN Melaka, 87 peratus calon terdiri daripada muka-muka baru. Selain itu, PRN Johor juga turut memperlihatkan sebanyak 79 peratus muka baru,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Wacana Aspirasi UMNO (WAU 2.0) bertemakan ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, Menara Dato Onn, di sini.
Jelasnya, selaku pengerusi, beliau bukan sahaja mahu mengangkat pemegang-pemegang jawatan malah turut memberi peluang kepada calon-calon muda di PRU-15 nanti.
“InsyaAllah PRU-15 nanti kita tampilkan wajah baru. Saya tidak hanya meraikan pemegang-pemegang jawatan saja yang menjadi calon,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.