KUALA LUMPUR – Pasar Keramat di Kampung Datuk Keramat, di sini terbakar lagi buat kali kedua pada awal pagi tadi.
Difahamkan, kejadian sama pernah berlaku di kawasan berkenaan pada 17 Mac 2021 lalu melibatkan lebih 40 lot kedai.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.30 pagi.
“Seramai 47 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keramat, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Wangsa Maju, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di tempat kejadian didapati kebakaran melibatkan lot kedai di pasar berkenaan dengan keadaan api sangat marak,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kemusnahan akibat kebakaran di pasar tersebut dianggarkan kira-kira 50 peratus.
“Kebakaran itu juga membabitkan sebahagian rumah berhampiran yang dianggarkan musnah kira-kira 10 peratus.
“Kebakaran marak dengan besar ekoran bahan binaan kedai yang terdiri daripada kayu,” katanya.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pukul 2.11 pagi.
“Tiada mangsa yang dilaporkan cedera dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.