KUALA LUMPUR – Johor Jewels membuktikan status mereka sebagai pasukan pilihan pada saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas mencatat kemenangan 62-26 ke atas Negeri Sembilan Venom sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, Johor Jewels yang diperkuatkan ramai pemain berpengalaman menguasai sepenuhnya permainan menerusi gerakan-gerakan berbahaya daripada duo tengah, Pow Mei Foong dan Nurfariha Abdul Razak.
Bagaimanapun, Negeri Sembilan juga tidak kurang hebatnya apabila beberapa kali memberi tekanan kepada barisan pertahanan Johor yang diketuai pemain import dari Sri Lanka, Gayani Samanthika.
“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan yang dilakar pada hari ini, dengan momentum sekarang, saya harap kami boleh tampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan musim ini.
“Memang Johor ada rasa tekanan dalam perlawanan itu tadi kerana ada kadang-kadang kita seolah-olah tidak tahu apa perlu dilakukan. Bagaimanapun, semua pemain fokus terhadap tanggungjawab masing-masing,” kata Nurfariha selepas tamat perlawanan.
Johor nyata berada dalam kelas tersendiri pada perlawanan itu apabila mula menjarakkan diri dengan agak jauh pada suku masa kedua selepas mendahului permainan dengan kedudukan 27-13.
Sentuhan goal shooter (GS) Johor, An Najwa Azizan juga amat ditagih oleh pasukan itu apabila jaringan-jaringan yang dilakukan berjaya membantu skuad kendalian Fazira Mesnan selesa mendahului 45-19 pada suku masa ketiga.
Bersambung suku masa keempat, johor masih belum mengendurkan asakan apabila terus melancarkan serangan bertali arus dan tidak menunjukkan belas kasihan dengan menambah jaringan demi jaringan sebelum menang bergaya 62-26.- KOSMO! ONLINE