WASHINGTON – Seorang anggota polis negeri Michigan didakwa kerana membunuh kelmarin selepas menembak mati seorang lelaki kulit hitam dalam satu pergelutan.
Christopher Schurr berdepan tuduhan membunuh yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup, kata pendakwa raya Daerah Kent, Christopher Becker.
“Kami mempunyai tanggungjawab menguatkuasakan undang-undang tanpa mengira tertuduh anggota polis ataupun orang awam,” katanya.
Patrick Lyoya, 26, terbunuh semasa satu pemeriksaan di Grand Rapids pada 4 April lalu.
Polis mengeluarkan empat rakaman video insiden itu termasuk rakaman menunjukkan Schurr berada di atas Lyoya ketika mereka bergelut sebelum menembak lelaki itu di kepala.
Insiden itu mencetuskan bantahan di Grand Rapids iaitu sebuah bandar yang didiami oleh 200,000 penduduk. Mereka mendesak supaya anggota polis terbabit didakwa.
Peguam hak awam, Ben Crump menyambut baik keputusan untuk mendakwa Schurr kerana membunuh.
“Schurr menahan Lyoya yang tidak bersenjata dan akhirnya menembak lelaki itu di belakang kepala hanya kerana pemeriksaan trafik,” kata Crump.
Pembunuhan Lyoya adalah terbaharu melibatkan orang kulit hitam yang mati di tangan polis Amerika Syarikat (AS). Kematian mereka mencetuskan protes menentang rasisme dan menuntut perubahan dilakukan dalam pasukan polis.
Tuntutan itu mendapat momentum selepas seorang anggota polis kulit putih di Minneapolis memijak leher George Floyd dengan menggunakan lututnya sehingga mangsa meninggal dunia pada Mei 2020.
Kematian Floyd mencetuskan protes selama berbulan-bulan kerana menentang kekejaman polis di AS dan juga seluruh dunia. – AFP