ANTARA mesej kuat terkandung dalam lagu terbaharu nyanyian dua figura, Faizal Tahir dan Amira Othman berjudul Alah Bisa berbunyi, biar sesibuk manapun seseorang itu, tuntutan dan tanggungjawab terhadap Ilahi jangan dilupakan.
Solat jangan lupa hatta dunia sekarang kian menderu dengan pelbagai perkara seperti media sosial yang kadang-kadang mudah menjadi kecanduan buat segelintir manusia terutama golongan muda.
Bernuansakan sedikit kemelayuan dengan suntikan lagu rakyat, Alah Bisa memberi bukti konkrit zaman sekarang, pemuzik tempatan ‘pulang’ ke akar apabila semakin mengangkat perkara yang sepatutnya iaitu elemen kemelayuan atau tradisi kita sendiri.
Dari segi kandungan lirik, tersentak dengan realiti yang memberi signifikasi bahawa semakin lama, semakin dekat pemuzik tempatan bergerak ke arah seni Melayu.
Dengan itu, semakin tak lari dengan nasihat dan seruan agama. Itulah budaya bangsa kita.
Mesej berguna, Melayu
‘Biar banyak manapun menuai, jangan sampai iman tergadai’. Begitulah bait lirik diluncurkan Faizal dalam satu patah bahagian lagu yang tersembunyi 1,001 kebenaran yang patut dijadikan teladan hidup.
Secara peribadi, penulis melihat, jauh sungguh perjalanan Faizal sebagai seorang pemuzik. Sedari zaman One In A Million, pernah dikecam bertubi-tubi disebabkan satu kontroversi buka baju dan menjadi antara ‘penghuni tetap’ AJL. Sekarang, dia lebih mengambil pendekatan tunduk ke bumi.
Itu menunjukkan kematangannya dalam dunia seni muzik tanah air yang semakin menjalar. Dia tidak lagi ‘lapar’ menggali perhatian dan sekarang, usahanya dalam bidang yang sarat dengan sepak terajang berkenaan adalah untuk memberi peringatan dan pengajaran buat para pendengar.
Dari segi komposisi muzik, penulis merasakan, ada banyak perihal yang bagaimanapun berjaya diseragamkan dengan berjaya dalam Alah Bisa. Diadun dengan ‘fusion’ lagu tradisional, namun pada masa sama, tetap disuntik dengan elemen moden sekali gus mudah melekat di cuping telinga pendengar.
Lenggok, patah Melayu moden
Dengan itu, ternyata bahawa Faizal masih berbisa dalam soal melahirkan lagu yang mudah ditangkap peminat.
Secara peribadi, pada awalnya penulis merasakan Amira berdepan cabaran yang besar berduet bersama Faizal, namun dia berjaya melunaskan peranannya dengan baik.
Lenggok dan patah melayu dalam nyanyiannya disampaikan dengan sempurna sekali gus melahirkan keseimbangan dengan aura yang dicernakan Faizal.
Ketika diwawancara tempoh hari, Amira ada menyebut yang dia sangat mengharapkan tuah akan menyebelahi dirinya untuk menjejakkan kaki di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) selepas ini.
Semoga dengan Alah Bisa, hasrat tersebut tercapai kerana sesungguhnya, pentas berkenaan sudah lama memerlukan dan dahagakan karya seperti Alah Bisa yang mengangkat nilai kemelayuan atau tradisional dipertandingkan sebaris genre lain.