PENGENDALI Harimau Malaya, Kim Pan-gon terus berteka-teki tentang pendekatannya yang bakal digunakan untuk menentang Bahrain pada perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Kini, jurulatih daripada Korea Selatan itu tiada lagi pilihan lain kecuali mengelak daripada kekalahan, sekurang-kurangnya kutip satu mata bagi cuba merealisasikan target peribadinya untuk menamatkan kempen kali ini dengan tujuh mata.
Daripada apa yang diserlahkan ketika pertemuan dengan Turkmenistan sebelum ini, peminat mula yakin Pan-gon miliki kualiti untuk membawa pasukan ke satu tanda aras lebih tinggi.
Malah Ultras Malaya sebelum ini turut memberi cabaran kepada Harimau Malaya dengan menyerlahkan ‘Tifo’ yang menunjukkan satu watak sedang memegang dua bola tertera nombor 7 dan 9, berkemungkinan merujuk kepada jumlah mata yang berpotensi diraih pasukan negara.
“Pengalaman yang hebat dan ini adalah kali pertama saya lihat sokongan sebesar ini. Ultras Malaya jadikan kami lebih bertenaga dan saya mahu lihat stadium akan terus penuh pada perlawanan dengan Bahrain.
“Satu atau tiga mata bukan perkara utama kerana paling penting adalah kami mampu dapatkan mata. Ini sesuatu yang lebih penting dan untuk itu, kami perlu tampil lebih kuat,” katanya ketika sidang akhbat praperlawanan antara Malaysia dan Bahrain semalam.
Malaysia dan Bahrain kini lulus pada ujian pertama, Harimau Malaya atasi Turkmenistan 3-1 manakala Bahrain menang 2-0 ke atas Bangladesh.
Sedar tugasan getir menanti, Pan-gon tetap percaya kualiti dimiliki Harimau Malaya dan bukan sesuatu mustahil untuk mengejutkan Bahrain yang kini menghuni ranking ke-89 dunia.
“Ia akan menjadi aksi sukar kerana Bahrain adalah pasukan berkualiti dan berpengalaman,” katanya.