KLANG – Tindakan seorang lelaki menghilangkan diri bagi pendakwaan kes rogol bekas pelajar perempuan empat tahun lalu memakan diri apabila dia dicekup polis semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek berusia 28 tahun sepatutnya dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan merogol mangsa berusia 16 tahun ketika kejadian pada 2018.
Bagaimanapun, katanya, lelaki itu tidak dapat dikesan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
“Berikutan itu, waran tangkap dipohon daripada mahkamah dan suspek dijadikan sebagai Orang Dikehendaki.
“Bertindak atas maklumat, suspek berjaya ditangkap pukul 1.30 pagi semalam dan dituduh di Mahkamah Sesyen Klang pada hari sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, kes itu dikesan selepas polis menerima maklumat daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) yang memaklumkan mengenai keadaan mangsa pada 18 Jun 2018.
“Pemeriksaan lanjut mendapati remaja perempuan itu sudah menggugurkan kandungannya di sebuah rumah di Kampung Delek.
“Mangsa yang merupakan pelajar sekolah ketika itu melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah hotel pada Oktober 2017,” ujarnya.
Kata beliau, mangsa mengetahui dirinya mengandung pada pada April 2018 dan mengambil ubat keguguran.
“Remaja itu kemudian melahirkan bayi lelaki cukup sifat dan tidak bernyawa dalam tandas rumah.
“Bayi itu kemudiannya dimasukkan dalam plastik sebelum dibuang ke dalam tong sampah besar di tepi jalan,” katanya.
Tambah Hoong Fong, suspek sebelum ini ditahan pihaknya bagi membantu siasatan pada 4 Julai 2018.
“Selepas siasatan selesai, suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya. Kes disiasat mengikut Seksyen 376 dan 318 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE