GEORGE TOWN – Krisis bekalan telur di negeri ini dijangka berlarutan hingga Ogos depan ekoran tindakan penternak menjual ayam hidup atau ayam telur yang mendapat permintaan tinggi di peringkat pengilang atau pembekal.
Tindakan itu mengakibatkan barang keperluan harian itu mengalami kekurangan bekalan terutama pada hujung minggu kerana peladang memberi alasan perlu menunggu proses pengumpulan telur semula.
Difahamkan, bekalan telur baharu mungkin akan dibawa keluar dari ladang pada malam esok menggunakan lori sebaik jumlah bahan keperluan harian itu disusun memenuhi ruang kenderaan bagi menjimatkan masa dan kos penghantaran.
Seorang pembekal yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal, 45, berkata, masalah kekurangan bekalan tersebut masih belum selesai dan paling ketara berlaku sejak dua minggu lalu.
Menurutnya, bekalan sedia ada kini tidak cukup untuk pengedaran kepada kira-kira 70 peratus pelanggan terdiri peruncit di pasar awam, pasar mini, restoran dan hotel.
“Untuk esok (hari ini) memang tiada stok telur ayam baharu bagi keempat-empat gred iaitu A, B, C dan D. Saya terpaksa mendahulukan untuk pelanggan kegunaan harian seperti di pasar awam dan restoran secara berperingkat.
“Catuan terpaksa dilakukan contohnya jika pelanggan minta 100 papan, saya hanya akan bagi 50 sahaja. Bakinya akan diserahkan pada keesokan harinya pula,” katanya.
Menurut Zainal, kekurangan bekalan berlaku kerana kebanyakan penternak terpaksa menjual ayam hidup atau ayam telur ekoran mendapat permintaan tinggi di peringkat pengilang atau pembekal.
Ketika ini, harga pasaran telur ayam masih ditetapkan mengikut harga kawalan iaitu 43 sen bagi gred A, 41 sen (B) dan 39 sen (C).
Seorang lagi peruncit yang mahu dikenali sebagai Norzizan, 45, pula berkata, telur ayam gred B kini menjadi pilihan dalam kalangan pelanggannya kerana saiznya yang paling ideal untuk sukatan bagi pembuatan kek, kuih dan telur dadar.
Sementara itu di Kota Bharu, Kelantan, pemborong terpaksa menaikkan harga jualan telur sehingga RM1.50 sepapan selepas tidak mampu menanggung peningkatan caj penghantaran sejak Januari lalu.
Seorang pemborong, Hafiz Narudin, 32, berkata, kebanyakan pemborong menjual telur gred A pada harga RM13.50 sepapan berbanding RM12 sebelum ini.
Katanya, ia berlaku apabila syarikat penghantaran mula mengenakan caj sebanyak RM1,500 untuk membawa dan menghantar 5,000 sarang telur kepada pemborong.
“Sebelum ini mereka tidak mengenakan sebarang caj, namun ia mula dilakukan sejak Januari lalu. Setakat ini pelanggan faham mengapa harga meningkat.
“Kami tiada pilihan selain terpaksa menaikkan harga jualan telur ayam. Lebih membebankan apabila saya juga perlu menanggung kos harga sarang telur ayam yang dikenakan oleh pihak kilang,” katanya kepada Kosmo!.
Berita berkaitan: Telur ayam kurang, harga melambung
Menurut Hafiz, kilang juga berlepas tangan sekiranya telur yang dihantar pecah dan segala kerugian akan diletakkan ke atas pemborong.
Tambahnya, dia mengambil bekalan telur dari kilang di Perak dan Pahang dan mereka juga mengenakan caj penghantaran yang sama iaitu RM1,500 untuk dihantar ke Kelantan.
“Saya hanya memperoleh keuntungan sebanyak 40 sen untuk jualan setiap sarang telur gred A. Kesemua 5,000 sarang telur perlu dijual dalam tempoh seminggu,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai makan, Asmah Che Man, 58, berkata, dia masih mengekalkan harga roti canai telur yang dijual walaupun harganya telah meningkat kepada RM13.50 sepapan.
“Bekalan masih banyak tetapi rata-rata saya lihat harga telah meningkat,” katanya.