ISLAMABAD – Kerajaan Pakistan memutuskan untuk melarang majlis perkahwinan diadakan selepas pukul 10 malam, manakala pasar-pasar di seluruh negara perlu ditutup pada pukul 8.30 malam, lapor laman berita Wion News semalam.
Arahan itu dikuatkuasakan kelmarin dalam usaha untuk menjimatkan tenaga negara, lapor saluran televisyen Geo News.
Pakistan yang menghadapi krisis tenaga telah melaksanakan pelbagai langkah untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.
Krisis tenaga yang turut menjejaskan ekonomi Pakistan itu memaksa Majlis Ekonomi Negara (NEC) mengarahkan penutupan pasar di seluruh negara pada pukul 8.30 malam.
Keputusan itu diambil dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dan dihadiri oleh semua ketua menteri wilayah kecuali Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa yang diarahkan untuk menangani krisis tenaga itu.
Kenyataan mengenai arahan tersebut menambah, ketua menteri Sindh, Punjab dan Balochistan telah meminta masa dua hari untuk berunding dengan persatuan peniaga tetapi bersetuju dengan langkah itu.
Menteri Tenaga, Khurrum Dastagir dalam kenyataan kepada akhbar berkata, penutupan awal pasar dan aturan bekerja dari rumah boleh menjimatkan tenaga elektrik.
“Elektrik yang dihasilkan di negara ini (Pakistan) adalah 22,000 megawatt (MW) dan keperluannya adalah 26,000MW,” kata menteri iu sambil menambah, terdapat kekurangan bekalan sebanyak 4,000MW di negara itu. -Agensi