fbpx

K2

Balasan rampas kebahagiaan orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN sudah beristeri dua, Samsudin masih kemaruk untuk berkahwin seorang lagi. – GAMBAR HIASAN

MEMILIKI raut wajah cantik serta tubuh badan bak model antarabangsa bukanlah jaminan kepada kebahagian seorang wanita apabila melangkah ke alam rumah tangga.

Perkara tersebut dilalui sendiri oleh Yasmin (bukan nama sebenar) apabila dia terpaksa ‘makan hati’ sepanjang tinggal sebumbung dengan suaminya yang dikenali sebagai Samsudin.

Selepas hampir dua tahun Yasmin menjadi isteri kedua Samsuddin, hubungan pasangan yang tidak dikurnia cahaya mata itu akhirnya terlerai baru-baru ini ekoran kehadiran wanita ketiga.

Yasmin memaklumkan, dia berkenalan dengan Samsuddin yang merupakan seorang ahli perniagaan berjaya berpangkat datuk menerusi salah seorang rakan karibnya.

Jelasnya lagi, Samsudin yang ketika itu berstatus suami orang dan memiliki tiga cahaya mata menunjukkan minat mendalam terhadap dirinya.

“Saya kenal suami daripada rakan perniagaan saya. Samsudin ini merupakan seorang ahli perniagaan berjaya. Kalau tidak silap, umur dia ketika itu hampir 50 tahun.

“Pertama kali bertemu, dia sudah mula menunjukkan minat kepada saya. Kami sering berhubung dan bertemu atas urusan perniagaan,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Selepas mengetahui Samsudin masih berstatus suami orang, Yasmin tidak memberi sebarang harapan terhadap perhubungan tersebut kerana enggan menjadi perampas.

Bagaimanapun, Samsudin menunjukkan usaha berterusan bagi memenangi hati Yasmin termasuk mengambil berat terhadap kesihatan ibunya yang sakit di Kelantan.

“Saya melihat kesungguhan Samsudin untuk memenangi hati saya. Dia sanggup datang ke Kelantan untuk melawat ibu saya yang terlantar di hospital meskipun sibuk dengan urusan harian,” katanya.

Beberapa bulan berkenalan, Samsudin akhirnya menyatakan hasrat mengahwini Yasmin sebagai isteri kedua selepas mendapat persetujuan daripada isteri pertamanya.

Yasmin mengambil masa hampir sebulan bagi mempertimbangkan kehendak Samsudin itu, sebelum akhirnya dia bersetuju untuk berkahwin selepas mendapat lampu hijau daripada ibunya.

“Saya sedar suami mampu menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin kepada saya dan isteri pertamanya. Lagipun, saya yakin dia berkemampuan dari segi pendapatan. Sebab itulah saya bersetuju untuk menjadi isteri keduanya,” ceritanya.

YASMIN stres selepas mengetahui suaminya ingin berkahwin seorang lagi. -GAMBAR HIASAN

Sepanjang perkahwinan, Yasmin mengaku dia banyak makan hati apabila sering ditinggalkan suaminya ketika pergi outstation ke luar negara atau menghadiri majlis-majlis rasmi.

Kebiasaannya, Samsuddin akan membawa isteri pertama ke luar negara dan majlis rasmi memandangkan kebanyakan rakan perniagaan suaminya tidak mengetahui kehadiran Yasmin.

“Kadang-kadang rasa sakit hati jugalah terpaksa duduk di rumah seorang diri. Tetapi begitulah nasib seorang isteri kedua. Saya sering ditinggalkan untuk tempoh lama,” jelasnya.

Bahtera perkahwinan Yasmin mula bergolak apabila suaminya menyatakan hasrat untuk mengahwini seorang gadis muda sebagai isteri ketiganya.

Menurut Yasmin, kehendak Samsudin itu telah mendapat persetujuan daripada isteri pertamanya yang memang rela hidup bermadu kasih.

“Apabila tahu suami hendak tambah lagi isteri, saya memang tidak boleh terima. Saya tidak tahu hendak gambarkan perasaan ketika itu. Nak kata cemburu tidak, tapi ada rasa marah.

“Saya mungkin boleh hidup bermadu dengan dua orang sahaja. Apabila masuk tiga isteri, mungkin saya akan ditinggalkan lebih lama selepas ini,” katanya lagi.

Rentetan itu, Yasmin tidak bersetuju dengan kehendak Samsudin untuk berkahwin lagi dan minta diceraikan andai suaminya ingin meneruskan hasrat berkenaan.

Ternyata, Samsudin yang sudah kemaruk berkahwin dengan isteri baharunya memilih untuk menceraikan Yasmin dengan talak satu sebelum dibawa ke pengetahuan mahkamah syariah.

“Sewaktu di mahkamah syariah, hakim tidak kata apa-apa, cuma dia mengingatkan suami supaya menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin apabila menjalani hidup berpoligami.

“Bagi saya, ia mungkin balasan atau karma apabila merampas kebahagiaan orang lain. Apabila kena kepada diri sendiri, saya tidak mampu menerimanya,” tutur Yasmin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI